PARIS – Tadej Pogacar semakin mengukuhkan statusnya sebagai pelumba paling dominan generasi ini apabila mengesahkan rekod lima gelaran Tour de France (TdF), sekali gus hanya selangkah lagi untuk muncul pelumba paling berjaya dalam sejarah perlumbaan berprestij itu.
Bintang Slovenia daripada pasukan UAE Team Emirates XRG itu mengesahkan kejuaraan keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut selepas menamatkan saingan peringkat terakhir tanpa sebarang masalah, sekali gus menyertai kelompok legenda Jacques Anquetil, Eddy Merckx, Bernard Hinault dan Miguel Indurain yang turut memiliki lima gelaran TdF.
“Terima kasih kepada semua penyokong dan seluruh rakyat Perancis kerana menjadi tuan rumah perlumbaan hebat ini. Terima kasih juga kepada semua pencabar kerana memberikan saingan yang cukup menarik sepanjang tiga minggu ini.
“Kami bertarung habis-habisan sepanjang perlumbaan dan saya benar-benar menghargai setiap detik yang dilalui,” katanya.
Kejayaan itu hadir selepas Pogacar sekali lagi mempamerkan penguasaan mutlak sepanjang perlumbaan apabila memenangi lima peringkat, sekali gus menegaskan jurang kemampuannya berbanding pencabar lain.
Saingan pelumba yang diberi julukan ‘Pogi’ itu turut menjadi lebih mudah apabila juara dua kali, Jonas Vingegaard menarik diri selepas terbabit dalam kemalangan pada peringkat ke-15, sekali gus membuka laluan buat Pogacar mempertahankan Jersi Kuning.
Sementara itu, kemenangan peringkat terakhir menjadi milik pelumba Belanda, Mathieu Van Der Poel yang menewaskan rakan sepasukannya dari Alpecin-Deceuninck, Jasper Philipsen menerusi pecutan penamat selepas kedua-duanya meninggalkan kelompok utama pada pendakian terakhir Montmartre.
“Saya sudah mengimpikan kemenangan ini sejak hanya mampu menonton perlumbaan dari televisyen tahun lalu kerana sakit. Berada di hadapan bersama pelumba terbaik dunia adalah sesuatu yang luar biasa dan saya amat menghormati Pogacar,” kata Van Der Poel.
Dalam kedudukan keseluruhan, Remco Evenepoel dari Belgium menamatkan perlumbaan sebagai naib juara, manakala pelumba Mexico, Isaac Del Toro melengkapkan podium di tempat ketiga ketika Pogacar kini hanya memerlukan satu lagi gelaran untuk muncul pelumba pertama dalam sejarah memenangi enam kejuaraan Tour de France. – AGENSI

7 hours ago
8















































