PM Laos lawat Malaysia esok, bincang pelbagai isu dua hala

7 hours ago 1

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia esok di mana ini merupakan lawatan pertama beliau ke sini sejak dilantik sebagai Ketua Kerajaan pada Disember 2022.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, menerusi kunjungan rasmi itu, Sonexay Siphandone akan diiringi isteri, Vandara Siphandone serta menteri dan pegawai
kanan kerajaan Laos.

“Sonexay Siphandone akan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya diikuti dengan mesyuarat dua hala.

“Mesyuarat tersebut akan memberi tumpuan kepada kemajuan hubungan dua hala sedia ada khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan selain pertahanan, pendidikan dan tenaga boleh baharu.

“Perbincangan turut melibatkan isu pengangkutan, pelancongan, pembangunan kapasiti, pertanian dan industri halal,” katanya hari ini.

Kedua-dua pemimpin turut akan bertukar pandangan secara menyeluruh mengenai perkembangan serantau dan global.

Kata Wisma Putra, penekanan juga diberikan kepada kepentingan strategik ASEAN sebagai sebuah platform yang padu dan responsif dalam menangani isu-isu bersama, terutamanya dalam menghadapi cabaran geopolitik dan geoekonomi yang berkembang.

“Lawatan rasmi ini yang diadakan menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 mencerminkan hubungan erat dan berterusan antara Malaysia dan Laos,” katanya.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Laos mencatatkan sebanyak RM99.7 juta dengan eksport bernilai RM67.8 juta dan import berjumlah RM31.9 juta.

Malaysia merupakan pelabur asing kelima terbesar Laos dengan jumlah pelaburan sebanyak USD942 juta merangkumi 46 projek berdaftar yang tertumpu kepada sektor seperti tenaga boleh baharu, pengangkutan dan logistik serta telekomunikasi, pembinaan, perbankan dan perkhidmatan hotel. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |