Piastri dedah dua ‘kelemahan’ utama

2 weeks ago 16

ZANDVOORT – Pemandu McLaren, Oscar Piastri menegaskan dirinya bukanlah kebal daripada tekanan, sebaliknya mengakui masih berdepan rasa gugup sebelum turun bersaing perlumbaan Formula Satu (F1).

Namun, pemandu Australia itu mendedahkan sikap tenang yang dimilikinya menjadi kunci utama untuk tampil konsisten sekali gus kekal berada di landasan perebutan gelaran dunia musim ini.

“Ya, saya memang ada rasa gugup. Sebelum perlumbaan, perasaan itu pasti ada. Saya tidak percaya jika ada yang katakan mereka langsung tidak gugup kerana itu mustahil, malah agak pelik kalau tidak ada rasa begitu.

“Bagi saya, ia bergantung kepada cara menguruskannya. Perasaan gementar boleh jadi baik atau buruk dan bagaimana kita kawal akan menentukan hasilnya,” katanya menjelang Grand Prix Belanda di Zandvoort hujung minggu ini.

Pemandu berusia 24 tahun itu berkata, ketenangan yang sering menjadi identiti dirinya adalah gabungan sifat semula jadi dan pengalaman dikutip sebagai pelumba.

“Bersikap tenang memang sebahagian daripada diri. Saya belajar melalui pengalaman bahawa itulah cara terbaik untuk saya beraksi. Ia tidak semestinya sesuai untuk semua orang, tetapi bagi saya, ia terbukti berkesan,” katanya.

Ketika ini, Piastri mendahului rakan sepasukan, Lando Norris dengan kelebihan sembilan mata dalam carta kejuaraan.

Mengulas baki 10 perlumbaan terakhir, Piastri berkata dia sudah bersedia menghadapi cabaran lebih getir menjelang kemuncak musim perlumbaan.

“Tekanan akan meningkat apabila kita semakin hampir dengan penghujung musim dan saya sudah bersedia untuk itu. Saya pernah berada dalam situasi sebegini di kejohanan lain, jadi perasaan dan cabarannya sama.

“Tetapi akhirnya semua bergantung kepada bagaimana saya menguruskan tekanan, cara saya memandu dan menghadapi cabaran yang akan datang,” jelasnya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |