PH umum 10 tawaran Johor Untuk Semua

10 hours ago 1

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan 10 tawaran menerusi manifesto Johor Untuk Semua sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang memberi tumpuan kepada aspek kesihatan, perumahan, pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi negeri.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, antara tawaran utama ialah memperkenalkan Skim Kesihatan Johor yang menyediakan perlindungan sehingga RM100,000 setahun kepada golongan layak.

Katanya, skim itu turut menghidupkan semula Kad Sihat Johor yang pernah diperkenalkan selepas PRN pada 2018 dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 rakyat khususnya golongan B40, M40 dan orang kurang upaya (OKU).

Menurut beliau, PH Johor turut merancang membina 80,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun dengan sasaran 16,000 unit dibina setiap tahun.

“Keutamaan akan diberikan kepada keluarga muda dan pekerja tempatan selain mempergiat pembinaan rumah generasi kedua Felda,” katanya pada Majlis Peluncuran Manifesto Pakatan Harapan Johor di Hotel New York, di sini hari ini.

Beliau berkata, PH turut memperuntukkan RM500 juta menerusi Dana Anak Muda Johor yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 anak muda.

Katanya, dana itu melibatkan program utama seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Premium Johor, latihan kecerdasan buatan (AI), robotik, digital serta program Jaminan Pekerjaan Pertama.

“Kita juga akan menyediakan bantuan rumah pertama anak Johor sebanyak RM8,000 kepada 50,000 keluarga muda,” katanya.

Dalam sektor pendidikan pula, PH menyasarkan semua sekolah mendapat akses internet berkelajuan tinggi menjelang tahun 2030 selain menyediakan makmal AI dan robotik serta perpustakaan digital di semua daerah.

Sementara itu, Setiausaha DAP Johor, Andrew Chen Kah Eng berkata, PH turut memperuntukkan RM1 bilion menerusi Dana Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Johor yang dijangka memberi manfaat kepada 50,000 usahawan.

Katanya, PH menyasarkan 20,000 perniagaan didigitalkan selain melahirkan 10,000 usahawan baharu dan mewujudkan 250,000 pekerjaan bergaji tinggi dalam tempoh lima tahun.

Tambah beliau, PH juga berikrar mengurangkan sehingga 50 peratus masa menunggu di pintu masuk Malaysia-Singapura selain memperkasa sektor agromakanan dan industri bernilai tinggi sebagai pemacu ekonomi negeri. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |