PH tawar 10 agenda menuju Negeri Sembilan Maju 2045

16 hours ago 6

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) mengumumkan 10 tawaran utama bagi membina Negeri Sembilan yang lebih maju, makmur dan inklusif menjelang 2045, dengan aspirasi menjadikan negeri itu sebagai contoh pembangunan paling seimbang di Malaysia dengan mengambil inspirasi ‘Hokkaido’ wilayah di Jepun.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dengan mandat rakyat, PH akan meneruskan agenda pembangunan, memperkukuh ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat, menyediakan lebih banyak peluang kepada generasi muda serta memastikan pembangunan yang seimbang di setiap daerah.

“Saya mahu Negeri Sembilan menjadi contoh pembangunan paling seimbang di Malaysia. Kalau Jepun mempunyai Hokkaido, saya mahu Malaysia mempunyai Negeri Sembilan. Bukan kerana kita mahu meniru Hokkaido, tetapi kerana kita mahu membuktikan bahawa sebuah negeri boleh maju tanpa kehilangan jiwanya,” katanya pada Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan 2026 di Seremban.

Beliau berkata, negeri itu disasarkan mempunyai sektor industri yang berkembang, pertanian moden, pelancongan yang menjadi tarikan, bandar pintar, desa yang terus subur, alam sekitar terpelihara, budaya dihormati dan rakyat menikmati kualiti hidup yang tinggi.

Katanya, antara tawaran utama yang diumumkan ialah memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat menerusi penambahbaikan kadar bantuan tunai secara one-off.

“PH juga menyasarkan pewujudan 30,000 peluang pekerjaan berkualiti melalui pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 yang memberi tumpuan kepada industri berteknologi tinggi dan pelaburan baharu.

“Bagi merealisasikan agenda itu, kerajaan negeri akan meneruskan pembangunan NS Semiconductor Valley sebagai hab teknologi tinggi negara, Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City, selain mempercepatkan pembangunan Seremban Sentral, Hospital Bandar Enstek serta rangkaian logistik baharu.

“PH turut berjanji merealisasikan Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson, Lebuh Raya Bypass Senawang–Port Klang dan meningkatkan kekerapan perkhidmatan komuter dua hala antara Seremban dengan Kuala Lumpur bagi mengukuhkan sektor perindustrian dan logistik negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |