KUALA NERANG – Impian seorang anak sulung untuk membantu keluarga selepas menamatkan pengajian terbantut apabila terpaksa berhenti kerja setelah kesihatannya merosot akibat kanser darah.
Menurut Ummi Husna Rosnain, 24, dia disahkan menghidap leukemia myeloid kronik (CML) pada 2022 iaitu ketika berada pada semester akhir Diploma Pengurusan Pejabat di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).
“Saya terpaksa menangguhkan pengajian bagi mendapatkan rawatan selama kira-kira enam bulan. Selepas itu saya masuk belajar semula sebelum berjaya menanamatkan pengajian pada 2023,” katanya.
Dia yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik ditemui ketika menerima kunjungan Cancer Survivors Malaysia (CSM) yang turut menghulurkan sumbangan di rumahnya di Kampung Padang Cenderai, di sini kelmarin.
Katanya, sebelum disahkan menghidap kanser, dia hanya menyedari perutnya semakin membesar akibat limpa membengkak selain kehilangan berat badan daripada 60 kilogram (kg) kepada 40 kg kilogram dalam tempoh sebulan.
“Saya tidak rasa saya sakit sebab tidak mengalami demam atau simptom lain, cuma saya sering rasa nak pitam bila angkat barang seperti bakul pakaian. Tidak sangka rupanya itu petanda kanser,” ujarnya.
Menurutnya, dia kemudian bekerja sebagai pembantu pentadbiran di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur selama tiga tahun.
“Saya tetap pergi kerja dengan menaiki tren walaupun kaki dan muka bengkak, kadang kala muntah akibat kesan ubat kemoterapi yang diambil secara oral setiap hari.
“Saya fikir sakit boleh tahan, asalkan saya dapat terus bekerja dan bantu keluarga sebab saya anak sulung,” ujarnya sambil memberitahu bapanya hanya melakukan kerja-kerja kampung dan ibu pula seorang suri rumah.
Namun, katanya, sejak awal tahun ini kesihatannya semakin merosot apabila bacaan sel darah putih meningkat, selain kerap demam, muntah dan mengalami sesak nafas.
“Saya dimasukkan ke Hospital Ampang sebanyak tiga kali termasuk dirawat di Unit Rawatan Rapi selama tiga hari.
“Semasa di ICU, saya hampir ditidurkan tetapi tak jadi sebab kadar oksigen kembali normal. Namun, selepas keluar ICU, saya mengalami masalah penglihatan akibat jangkitan kuman sehingga terpaksa menerima suntikan antibiotik pada mata kanan setiap minggu,” ujarnya.
Selain masalah penglihatan, Ummi Husna juga
sukar berjalan kerana kerap hilang imbangan badan, sekali gus menyukarkannya untuk kembali bekerja.
Namun begitu, katanya, semangatnya untuk bekerja bagi membantu keluarga masih kuat apabila dia tetap menggagahkan diri menghadiri temu duga untuk bekerja di sebuah kilang, baru-baru ini.
Bagi yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB 7634187119 atas nama Ummi Husna. – KOSMO! ONLINE

17 hours ago
6















































