SETIAP rumah sama ada kecil atau besar mampu menjadi ruang untuk bertani bagi membolehkan masyarakat menghasilkan makanan sendiri.
Hal ini bukanlah suatu yang mustahil kerana terdapat pelbagai alternatif yang boleh diaplikasikan untuk bertani di rumah, meskipun tinggal di bangunan tinggi.
Walaupun konsep bertani atau berkebun di rumah bukanlah sesuatu yang baharu, namun ia merupakan salah satu usaha untuk menangani krisis ketersediaan makanan selamat dan lestari.
Menurut Pegawai Pertanian Kanan, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM), Mahani Amat @ Halimi, kebun rumah bukan sekadar hobi atau gaya hidup, sebaliknya ia strategi alternatif untuk kelestarian makanan bandar yang semakin relevan dan praktikal.
“Di kawasan bandar, kebun rumah memainkan peranan penting dalam menyokong kelestarian alam sekitar.
“Dengan menanam sayur sendiri, isi rumah dapat mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan makanan jarak jauh yang menyumbang kepada pelepasan karbon tinggi.
“Pada masa sama, amalan seperti pengkomposan sisa dapur dapat membantu mengurangkan sisa organik yang berakhir di tapak pelupusan sampah,” katanya kepada K-Tekno baru-baru ini.
KEBUN rumah mampu menangani krisis ketersediaan makanan yang selamat.Tambahnya, kebun di balkoni kondominium atau halaman rumah bukan sahaja menghasilkan sayur segar, malah bertindak sebagai ‘paru-paru hijau mikro’ yang menyejukkan ruang kediaman, menyerap pencemaran udara serta meningkatkan biodiversiti bandar melalui kehadiran serangga pendebungaan dan mikroorganisme tanah.
“Kewujudan kebun rumah juga mampu menyumbang ekologi yang lestari, selain membantu menyediakan sumber makanan yang lebih dekat, cepat dan selamat,” ujarnya.
Dalam era kini, merealisasikan konsep bertani di rumah bukanlah suatu yang mustahil terutama dengan penglibatan teknologi dan inovasi terbaharu.
Perkembangan itu juga telah menjadi solusi terhadap pelbagai keterbatasan terutama pengetahuan, ruang dan pengendalian tanaman di kawasan kediaman. Dia juga menyangkal anggapan bahawa kebun rumah hanya sesuai untuk mereka yang mempunyai tangan ‘sejuk’, sebaliknya ia bersifat inklusif untuk semua.
Hakikatnya kini, keterbatasan dalam berkebun di rumah bukan lagi penghalang utama kerana adanya teknologi seperti hidroponik dan fertigasi.
“Sistem hidroponik vertikal atau do it yourself (DIY) membolehkan pelbagai jenis sayur daun ditanam di ruang terhad dengan hasil yang konsisten dan penuaian mingguan.
“Tambahan pula, penggunaan aplikasi digital dan teknologi Internet of Things (IoT) dapat menjadikan kebun rumah lebih efisien dan mesra pengguna,” ujarnya.
MAHANIKatanya lagi, sensor berkenaan mampu memantau kelembapan, suhu dan nutrien serta sistem pengairan, sekali gus dapat membantu individu yang sibuk mengurus tanaman dengan lebih mudah dan teratur.
Dalam perancangan bandar pintar (smart city) pula, kebun rumah dan kebun bandar boleh diintegrasikan sebagai sebahagian daripada hab pertanian bandar.
Kebun atas bumbung, kebun komuniti perumahan dan sistem pertanian vertikal di bangunan pejabat bukan sahaja membantu menyediakan makanan segar, malah meningkatkan kualiti hidup bandar dan mengurangkan jejak karbon.
Dalam aspek inovasi dan teknologi pula, pelbagai institusi seperti Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), UPM dan lain-lain telah memperkenalkan inisiatif tersendiri untuk memudahkan konsep kebun rumah.
Antara usaha dilakukan adalah perkongsian oleh Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Hortikultur Mardi, Hamdan Mohd. Noor mengenai teknologi pertanian vertikal yang boleh menjadi rujukan awam secara dalam talian.
Dekoponix rack menggunakan konsep hidroponik, di mana tanaman tidak memerlukan penjagaan rapi.Perkongsian itu dapat membuka mata masyarakat terhadap perspektif hortikultur masa kini, di mana pertanian sedang membangun sebagai amalan penanaman di sekitar kawasan kediaman dan komuniti bandar, mahupun di pinggir bandar.
Usaha itu secara tidak langsung menjawab persoalan sama ada kebun rumah sekadar trend sementara atau mampu berkembang menjadi gerakan nasional.
Pihak Mardi juga telah membangunkan beberapa teknologi yang sesuai dengan situasi bandar sekarang.
Antaranya adalah integrasi sistem kawalan hidroponik bertingkat, sistem kawalan dan pemantauan persekitaran, pengairan dan pembajaan secara automasi menggunakan pendekatan kawalan berkomputer serta aplikasi IoT.
Usaha itu membolehkan keupayaan bertani di rumah diperluaskan terutama bagi mereka yang mempunyai keterbatasan ruang untuk menanam makanan sendiri seperti sayuran, herba dan sebagainya.
Konsep itu juga boleh diselaraskan mengikut kemampuan kerana kosnya bergantung kepada jenis inovasi atau teknologi yang diaplikasikan terhadap pertanian.
Sementara itu, pihak UPM tampil dengan pelbagai inovasi pertanian yang membolehkan konsep kebun rumah dibudayakan dan menjadi amalan masyarakat.
Salah satu kebun rumah yang boleh dipraktikkan oleh masyarakat bandar di negara ini.Antara usaha dilakukan adalah pengenalan ‘dekoponix rack’ dan ‘home deco’ oleh kumpulan penyelidik UPM bagi membolehkan penghuni pangsapuri menanam beberapa jenis sayuran serta ulaman di dalam rumah.
Ketua Penyelidik daripada Jabatan Rekabentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM, Prof. Dr. Khairul Aidil Azlin Abd. Rahman berkata, ‘dekoponix rack’ bukan sahaja medium bertani, malah ia salah satu bentuk hiasan dalaman dan boleh menjadi bidai pemisah antara ruang makan dan dapur.
“Inovasi ini menggunakan konsep hidroponik kerana tanaman tidak memerlukan penjagaan rapi, namun mampu menghasilkan produk yang bersih serta organik.
“Antara sayuran yang boleh ditanam adalah kailan, salad, kangkung, bayam merah dan pegaga.
“Menariknya, ia mengguna pakai sistem modular mudah dipasang dan dileraikan oleh pengguna dalam masa kira-kira lima minit.
“Malah, ia mudah diselenggarakan serta airnya boleh dikitar berterusan dan hanya perlu ditambah sekali dalam masa dua minggu,” kongsinya.
KONSEP ‘dekoponix rack’ yang diperkenalkan oleh UPM sesuai dijadikan hiasan dalaman dan bidai pemisah ruang.Dengan inovasi dan ketersediaan teknologi untuk konsep kebun atau bertani di rumah, amalan berkebun di rumah sudah menjadi suatu yang inklusif buat masyarakat.
Pada masa sama, ia boleh menjadi satu strategi kelestarian bandar yang menyokong keselamatan makanan, mengurangkan kos sara hidup dan menjadi pemangkin kepada ekonomi mikro komuniti.
Dengan sokongan teknologi moden dan dasar yang berkesan, kebun rumah mampu berkembang daripada inisiatif kecil kepada gerakan nasional demi kesejahteraan rakyat, bandar lebih baik dan menjamin masa depan makanan negara.

7 hours ago
6















































