Pertama kali sertai, atlet muda Australia lelaki terpantas Ironman

5 hours ago 2

KOTA TINGGI – Seorang atlet muda Australia tidak menyangka akan muncul sebagai juara bagi kategori lelaki terpantas keseluruhan dalam Kejohanan Ironman 70.3 Desaru Coast yang baru pertama kali disertainya, hari ini.

Jed Radbond, 25, berkata dia juga tidak menyangka mampu menamatkan perlumbaan berkenaan meskipun berdepan keadaan cuaca panas yang mencabar.

Menurutnya, kejayaan itu bermula dengan permulaan larian yang baik sebelum berjaya berada di hadapan sejak awal.

Katanya pada awalnya dia juga tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang apabila melihat peserta lain yang kelihatan lebih berpengalaman.

“Saya berada di hotel dan melihat beberapa lelaki dengan kaki besar dan saya agak risau. Saya hanya perlu mengekalkan rentak sendiri sekuat mungkin. Saya rasa ini adalah usaha paling keras pernah saya lakukan,” katanya yang ingin kembali menyertai kejohanan itu pada tahun hadapan.

Dia turut berkongsi kisah hidupnya yang menyentuh hati apabila mendedahkan pernah mengalami kemalangan serius pada tahun 2013 yang hampir membuatkannya hilang keupayaan berjalan.

“Semasa usia 12 tahun saya alami kemalangan melibatkan kecederaan di bahagian pelvis. Namun itu tidak menghalang saya untuk mula serius dalam sukan triathlon sejak tiga setengah tahun lalu.

“Saya menganggap sukan ini amat mencabar dan memberi kepuasan kepada saya. Pada awalnya saya hanya mula berlari dan berenang untuk kekal aktif dan akhirnya masuk triathlon,” katanya.

Dalam pada itu, juara bagi kategori wanita terpantas keseluruhan kejohanan Ironman 70.3 Desaru Coast, Ling Er Choo, 37 dari Singapura berkata dia bersyukur kerana menjuarai kejohanan itu untuk ketiga kalinya.

“Saya sebenarnya baru pulih daripada kecederaan kaki tiga bulan lepas. Jadi saya datang ke sini dengan rasa tak pasti tentang tahap larian saya.

“Namun hari ini saya cukup yakin dengan larian saya dan sangat gembira ia berjalan dengan baik. Tidak ada kesakitan dan tidak ada masalah,” kata ibu kepada seorang anak itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |