KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan hari ini berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada perdana menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Peguam Datuk Seri K.Raja Segaran yang mewakili Anwar berkata, rayuan itu dibuat berdasarkan Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Kami dengan penuh hormat tidak bersetuju dengan keputusan ini. Lapan soalan yang dikemukakan bukanlah bersifat abstrak atau akademik, ia membabitkan isu perlembagaan yang serius dan belum diselesaikan termasuk perlindungan terhadap fungsi eksekutif, risiko litigasi yang bermotifkan politik, serta skop Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini membabitkan implikasi perlembagaan yang meluas dan memerlukan penjelasan yang muktamad oleh mahkamah tertinggi negara,” katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.
Tambah beliau, selaras dengan peruntukan undang-undang, pihaknya akan memohon penangguhan prosiding perbicaraan bagi memelihara integriti proses rayuan dan memastikan bahawa pihak defendan (Anwa) tidak terdedah kepada prosiding yang mungkin akhirnya didapati tidak dibenarkan oleh Perlembagaan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati permohonan berkenaan tidak memenuhi peruntukkan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Anwar memfailkan permohonan itu pada 23 Mei, bagi meminta Mahkamah Tinggi yang mendengar saman tersebut merujuk lapan persoalan undang-undang berkenaan kepada Mahkamah Persekutuan.
Lapan persoalan undang-undang itu termasuk sama ada, di bawah Artikel 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat menikmati kekebalan terhad daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan salah laku peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya.
Dua minggu lalu, Anwar memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman sivil yang difailkan Muhammad Yusoff. – KOSMO! ONLINE