Perak lubuk rezeki pemain industri kopi

4 hours ago 1

IPOH – Potensi besar industri kopi di negeri ini bagaikan satu ‘jemputan’ bagi anak-anak muda untuk mencari rezeki menerusi bidang makanan dan minuman (F&B).

Salah seorang anak muda tempatan, Mohamad Syafiq Saad, 35, yang merupakan pengasas Ngopdul Coffee berkata, melalui peluang tersebut, beliau kini terlibat secara langsung dalam industri berpotensi itu di Perak.

Anak jati Ipoh ini memulakan perniagaannya pada 2021 selepas negara dilanda pandemik yang menyaksikan ekonomi negara merudum dan menjejaskan pelbagai pihak termasuk dirinya.

“Ketika itu, saya membuat keputusan untuk membuka kios Ngopdul Coffee di kaki lima sebuah dobi di Pekan Razaki di sini. Pada waktu itu saya dibantu oleh seorang kakitangan.

“Apa yang mendorong saya untuk memilih perniagaan ini adalah kerana minat yang mendalam terhadap kopi dan usaha itu membuahkan hasil apabila jenama ini telah memiliki enam cawangan di Ipoh,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, sepanjang perjalanan perniagaannya iaitu dari sebuah kios sehinggalah wujudnya enam cawangan fizikal di bandar ini, banyak pihak membantunya mencapai kejayaan itu.

Antaranya, menurut Moha­mad Syafiq, adalah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) yang membantunya memperoleh peralatan diperlukan seperti mesin pen­gi­sar kopi dan sistem penapis air.

“Menerusi bantuan yang diperoleh pada tahun 2023 itu, kami berjaya meningkatkan kapasiti penghasilan minuman ­berasaskan kopi iaitu kurang dari 100 cawan sehari kepada lebih daripada jumlah itu.

“Bahkan, Perak SADC turut menaja kami untuk mengikuti kursus keusahawanan anjuran SME Corp. selama setahun di Kuala Lumpur. Ia ternyata membantu daripada aspek kemahiran dan keusahawanan selain meluaskan jaringan perniagaan,” jelasnya.

Katanya, mereka juga menerima bantuan dari Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), antaranya membuka peluang kepada Ngopdul Coffee untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada tahun lalu.

“Di Perak sendiri memang tak dinafikan industri kopi ini sema­kin berkembang kerana kita dapat lihat semakin banyak anak muda yang mula menceburkan diri dalam bidang tersebut.

“Ditambah pula dengan bantuan-bantuan kerajaan negeri yang bermatlamat membantu golongan tersebut bertapak dalam industri F&B, ia memang menjadi daya penarik bagi mereka yang mahu terlibat dalam bidang ini,” katanya.

Bahkan, katanya, di Perak sendiri telah wujud ladang-ladang kopi yang diusahawan warga tempatan seperti di Pengkalan Hulu dan Bagan Datuk, sekali gus akan mengurangkan kebergantungan kepada produk import seperti dari Brazil, Colombia dan Indonesia.

Dalam pada itu, Mohamad Syafiq berkata, dia kini menyasarkan untuk menjadikan Ngopdul Coffee sebagai satu jenama dalam industri francais dalam tempoh lima tahun akan datang.

Bantuan yang diterimanya dari Perak SADC serta STeP adalah selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad terutamanya Flagship Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) serta Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Read Entire Article
Pertanian | | | |