TEHRAN – Majlis penghormatan terakhir bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berlangsung di dewan solat Musala Besar Imam Khomeini semala, namun bertukar menjadi medan seruan untuk membalas dendam terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, lapor akhbar The Guardian.
Iran mengadakan perarakan pengebumian besar-besaran selama seminggu untuk Ali Khamenei, yang terbunuh bersama ahli keluarganya yang lain pada hari pertama perang AS-Israel menentang Iran bermula pada 28 Februari lalu.
Solat jenazah untuk bekas pemimpin tertinggi Iran itu disertai kesedihan dan seruan untuk membalas dendam.
Lautan manusia membanjiri Tehran sejak awal pagi dengan orang ramai mengibarkan bendera merah sebagai simbolik yang membawa maksud menuntut bela dan pertumpahan darah
“Mulai saat ini, kain kafan adalah pakaian kami. Kami bersumpah demi darahmu, balas dendam adalah tanggungjawab kami,” kata penyair tempatan, Mohammad Rasouli, sejurus sebelum bacaan doa di majlis tersebut.
Ucapannya disambut dengan sorakan penuh semangat oleh orang ramai di situ.
Dalam pada itu, Duta Iran ke Armenia, Khalil Shirgholami berkata di X: “Anda boleh membunuh manusia tetapi anda tidak boleh membunuh idealogi. Anda membunuh Ayatollah Khamenei, tetapi pada hakikatnya anda telah memecahkan sebotol minyak wangi, yang mana harumannya tersebar ke serata tempat. Anda tidak akan pernah memahami perkara ini kerana anda tidak mempunyai tamadun, tiada sejarah dan tiada maruah.”
Solat jenazah diimankan ulama berusia 97 tahun dari Qom Ayatollah Ja’far Sobhani.
Bacaan doa dipanjat bukan sahaja untuk Ali Khamenei tetapi juga untuk tiga ahli keluarganya yang lain, termasuk menantu perempuannya, Zahra Haddad Adel, dan cucu perempuannya yang berusia 14 bulan, Zahra Mohammadi Golpaygani yang turut terkorban.
Majlis pengebumian itu termasuk perarakan besar-besaran di Tehran semalam sebelum jenazah Khamenei dibawa ke kota suci Qom, kemudian diangkut ke dua kota suci pengikut Syiah di Iraq sebelum menuju tempat persemadian terakhirnya, Mashhad, tempat Ali Khamenei dilahirkan pada tahun 1939. – AGENSI

8 hours ago
6









![[VIDEO] Tikam pelajar: Bunyi orang jerit, wisel ingatkan kebakaran – Saksi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-06-at-5.15.22-PM.jpeg)






























![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)








![[VIDEO] 5 makanan perlu dielakkan di bazar Ramadan, air manis ‘no.1’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-09-at-6.45.16-PM.jpeg)