Penunggang basikal, pemandu Myvi maut kemalangan

4 hours ago 1

ROMPIN – Seorang penunggang basikal dan seorang pemandu kereta jenis Perodua Myvi maut dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 156 Jalan Kuantan-Johor Bharu di sini hari ini.

Kejadian menyebabkan pemandu kereta Perodua Myvi, Mohamad Shahrul Hazim Mohd. Sharif, 28, dan penunggang basikal, Khairul Azraie Abdul Azim, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam kejadian itu kereta jenis Perodua Myvi merempuh sebuah basikal, manakala sebuah motosikal yang lalu di situ terkena serpihan kenderaan sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Johor Bharu menghala ke Kuantan.

KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kejadian kemalangan di Kilometer 156 Jalan Kuantan-Johor Bharu di Rompin hari ini.

“Apabila sampai di tempat kejadian kereta berkenaan telah melanggar sebuah basikal ditunggang seorang lelaki yang melintas jalan secara tiba-tiba sebelum kereta jenis Perodua Myvi berkenaan terbabas ke dalam tali air.

“Semasa kejadian sebuah motosikal jenis Yamaha 15ZR yang ditunggang perempuan berumur 36 tahun dari arah Kuantan menghala ke arah Johor Bharu yang melalui tempat kejadian terkena serpihan komponen kenderaan menyebabkannya hilang kawalan lalu terjatuh ke atas jalan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, akibat kejadian pemandu kereta dan juga penunggang basikal meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian badan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis meminta saksi yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |