Penjual nasi kukus, suami dan anak dirempuh lelaki positif dadah

1 hour ago 1

KAJANG – Pemandu sebuah Perodua Aruz yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah sehingga terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan tiga sekeluarga di Jalan Batu 17, Hulu Langat hari ini, ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki tempatan berusia 42 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan yang dijalankan selepas kejadian.

Menurutnya, suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah akan dibawa ke Mahkamah Kajang pada pukul 9 pagi esok bagi permohonan reman.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 7.56 pagi.

“Siasatan awal mendapati sebuah motosikal yang ditunggang lelaki tempatan berusia 34 tahun bersama isterinya, 32, dan anak lelaki mereka berusia tiga tahun sedang dalam perjalanan dari rumah di Batu 18 Hulu Langat menuju ke Nanding.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah Perodua Aruz dipercayai memasuki laluan mangsa sebelum berlaku pertembungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, akibat pelanggaran itu, ketiga-tiga mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Inspektor Mohd. Raziman Rasid di talian 019-4565502 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan semua pihak.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, penggemar nasi kukus berdekatan Petronas Nanding, Hulu Langat berkongsi kisah duka di media sosial apabila peniaga tersebut telah meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan pagi tadi.

Menerusi perkongsian oleh seorang pengguna di aplikasi Threads dikenali sebagai Izzatulnabilah, kemalangan tersebut turut mengorbankan suami dan seorang anak pasangan terbabit. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |