Peniaga dijel, denda RM2,000 curi kopi sorok dalam seluar

5 hours ago 4
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini. - Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!
  • Oleh AMRAN ALI
  • 29 Julai 2026, 3:11 pm

MELAKA – Seorang peniaga pasar malam dipenjara sehari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah mencuri pek kopi jenama terkenal bernilai RM105.70 dari sebuah kedai serbaneka di Taman Cheng Indah, awal bulan ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Nazarudin Ahmad, 36, selepas tertuduh membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Nazarudin didakwa mencuri tujuh bungkus kopi di premis 7-Eleven Taman Cheng Indah, Melaka Tengah pada pukul 8.21 malam, 7 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kedai serbaneka terbabit tertuduh memasukkan tujuh pek kopi tersebut ke dalam seluarnya sebelum menutupnya dengan baju dan keluar dari premis tanpa membuat sebarang bayaran di kaunter. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |