Pengurusan Harimau Malaya kotakan janji

17 hours ago 5

JANGAN persoalkan status bintang berdarah warisan terbaharu Harimau Malaya sebaliknya bersyukur dengan pengurusan skuad kebangsaan selepas mengotakan janji untuk membawa pulang pemain ‘gred A’ dari luar negara.

Pandangan tersebut disuarakan oleh legenda bola sepak negara, Azlan Johar yang menyifatkan kehadiran lima pemain berdarah kacukan baharu skuad kebangsaan ketika mampu melonjakkan lagi aura Harimau Malaya.

Kata Azlan, bukan mudah untuk puaskan hati semua pihak, tetapi apa yang lebih penting mereka layak untuk sarung jersi negara berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Jangan pertikaikan hak mereka kerana daripada aspek kelayakan, mereka sudah mendapat lampu hijau FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Adat peminat sukan pasti ada yang suka dan ada yang tidak suka kerana mustahil puaskan hati semua pihak.

“Dari aspek latar belakang, itu adalah soal kedua, tetapi lebih baik jika kita tidak perlu persoalkan langsung kerana mereka sendiri yang mahu pulang ke Malaysia dan mewakili pasukan negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, revolusi Harimau Malaya pada kali ini semakin rancak selepas mengesahkan kehadiran lima pemain warisan baharu pada minggu ini seperti Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces.

Semua pemain ini boleh dianggap ‘gred A’ dengan Figueiredo merupakan penggempur kelab ternama Liga Turkiye, Istanbul Basaksehir, Holgado (America de Cali), manakala Garces bermain dengan pasukan La Liga, Alaves.

Sementara itu, Azlan percaya rangkaian yang baik di peringkat antarabangsa oleh pengurusan Harimau Malaya menjadi salah satu sebab pemain-pemain di ini dapat dikenal pasti memiliki salasilah dan hubungan darah dengan Malaysia.

“Sudah tentu pengurusan dah kaji dan buat penilaian kerana kita ada pegawai-pegawai yang tahu menilai kemampuan pemain-pemain sebelum dipelawa ke sini.

“Ini adalah satu keputusan yang besar tetapi rangkaian dan hubungan baik di peringkat antarabangsa menjadi salah satu faktor pemain-pemain ini teruja untuk mewakili Malaysia,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |