Pengunjung rasai pengalaman pegang senjata api tentera Turkiye

7 hours ago 1

LANGKAWI – Pengunjung Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) berpeluang memegang senapang yang digunakan oleh tentera Turkiye apabila acara itu mula dibuka kepada orang awam bermula semalam.

Ketua Jualan Antarabangsa Sarsilmaz Silah Sanayi A.S (Sarsilmaz), Ödül Öden berkata, pelbagai senjata api buatan Turkiye dipamerkan kepada pengunjung.

Menurutnya, antara senjata api yang dipamerkan adalah SAR 56 7.5 inci, SAR 15T, MPT 76 SH dan pistol SAR9 Gen 3, SAR9 Sport Gen 3, SAR9 SP serta SAR 7/24.

“Kami rasa sangat penting untuk pengguna akhir dapat merasai dengan sendiri memegang senjata yang sebenar. Senjata-senjata tersebut bukanlah replika tetapi senjata sebenar, cuma larasnya diisi dengan keluli dan tiada pin tembak.

“Pada masa ini, kami telah mengeksport senjata ke lebih 80 negara seluruh dunia. Tentera dan polis Turkiye juga menggunakan pistol dan senapang kami sebagai senjata tugas utama mereka,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, Sarsilmaz merupakan antara pengeluar senjata api terbesar bagi senjata ringan dan senjata api berkaliber sederhana.

Tambahnya, syarikat itu adalah syarikat swasta daripada Turkiye dan mempunyai fasiliti pengeluaran terbesar di Eropah.

“Kami adalah salah satu syarikat tertua di Turkiye dalam bidang ini dan kami merupakan syarikat Turkiye pertama yang diperakui oleh Kementerian Maklumat dan Teknologi sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang ini,” ujarnya.

Sarsilmaz memiliki 42 pendaftaran dagangan, 13 paten dan mempunyai infrastruktur unik yang menggunakan teknologi Industri 4.0 iaitu teknologi pengeluaran terkini.

Selain itu, mereka turut membekalkan senjata buatan mereka kepada pasukan penguat kuasa dan ketenteraan Malaysia.

“Kami sudah membuat penghantaran dan saya juga telah menyebut perkara ini kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kami telah menghantar mesingan 7.62 milimeter kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kami berharap tahun ini serta tahun-tahun berikutnya, kami akan membuat lebih banyak penghantaran kepada Malaysia,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |