Penguatkuasaan lebih muatan kenderaan berat di pelabuhan mulai 1 Julai

19 hours ago 5

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap isu lebih muatan kenderaan berat di semua pelabuhan persekutuan Semenanjung Malaysia bermula 1 Julai ini.

Menterinya, Anthony Loke berkata, bagi tempoh itu, infrastruktur pelabuhan akan digunakan sebagai kaedah tambahan bagi memperluaskan tindakan penguatkuasaan terhadap isu lebihan muatan oleh kenderaan berat.

Beliau berkata, perincian mengenai dasar terhadap kesalahan lebihan muatan ini akan dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Pelabuhan masing-masing kepada pemain industri.

“Kementerian Pengangkutan menggesa pihak industri, khususnya pengendali lori untuk mengambil maklum berkenaan kaedah pelaksanaan di setiap pelabuhan.

“Sentiasa mematuhi had muatan yang dibenarkan bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan yang boleh menjejaskan operasi dan perniagaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bil 1/ 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, Loke berkata mesyuarat NLTF hari ini turut meluluskan Insentif Luar Waktu Puncak dan Tempoh Simpanan Percuma Tambahan sebagai inisiatif menangani kemalangan kenderaan berat serta kesesakan jalan raya menuju ke Pelabuhan Klang.

Menerusi Insentif Luar Waktu Puncak, pengangkut barangan atau haulier yang memasuki Pelabuhan Klang di waktu luar puncak akan menerima insentif RM15 untuk pergerakan dua hala (dual movement) dan RM7.50 untuk pergerakan satu hala (single movement).

“Kos insentif ini akan ditanggung melalui Terminal Access Charge sebanyak RM10.00 yang akan dikenakan kepada haulier yang memasuki pelabuhan pada waktu puncak (8:00 pagi-8:00 malam).

“Pelaksanaan TAC dan pemberian insentif dikecualikan pada hari Ahad dan Cuti Umum,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |