Penganalisis kewangan pun kena tipu skim pelaburan palsu

8 hours ago 2

KUALA TERENGGANU – Seorang penganalisis kewangan berputih mata kerugian RM147,350 akibat diperdaya skim pelaburan palsu.

Lelaki berusia 42 tahun yang menetap di Bandar Saujana Putra, Selangor tersebut melakukan perlaburan terbabit sewaktu berada di rumah abang iparnya di Kuala Ibai di sini pada 30 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisoner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki tersebut tertarik dengan skim pelaburan tersebut setelah melihat iklannya di laman media sosial, Instagram pada bulan Februari lalu.

“Mangsa kemudiannya menekan pautan diberikan sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp syarikat pelaburan berkenaan yang mempunyai 125 ahli.

“Dua daripada ahli kumpulan WhatsApp tersebut kemudiannya memperkenalkan diri kononnya pegawai syarikat pelaburan berpengkalan dari China kepada mangsa.,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, wanita terbabit seterusnya mengajak penganalisis kewangan tersebut menggunakan platform pelaburan yang didakwa dikendalikan syarikat pelaburan berkenaan sewaktu lelaki tersebut berada di rumah abang iparnya di Kuala Ibai pada 30 Mac lalu.

“Mangsa masih boleh mengawal proses jual beli saham menggunakan platform tersebut tetapi modal pelaburan perlu diuruskan dan diselia seorang pengurus syarikat terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, lelaki itu melakukan melakukan pelaburan keseluruhan RM147,350 menggunakan wang simpanan peribadi, ibu dan milik syarikat keluarga.

Beliau berkata, mangsa mula mengesyaki tidak kena apabila tidak pernah memperolehi apa-apa keuntungan sebelum melakukan semakan di sebuah bank di Taipan USJ, Subang Jaya, Selangor pada semalam.

“Alanglah terkejut dia apabila kakitangan bank itu mengesyaki transaksi meragukan sebelum menasihatkannya membuat laporan polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |