KUALA LUMPUR – Penyerang berdarah kacukan Brazil-Malaysia, Joao Figueiredo diyakini mampu menjadi penggempur prolifik yang dicari-cari skuad Harimau Malaya selama ini.
Selepas hampir sembilan tahun bergelar pemain profesional, Figueiredo berjaya meledak 81 gol daripada 276 penampilan bersama lima kelab termasuk Kauno Zalgiris (Lithuania), OFI Crete (Greece), Al-Wasl (UAE), Gaziantep (Turkiye) dan terkini Istanbul Basaksehir (Turkiye).
Sepanjang tiga musim bersama Basaksehir sejak Februari 2023, penyerang berusia 29 tahun itu berjaya meledak 24 gol keseluruhan termasuk 12 jaringan dalam 48 penampilan edisi kali ini.
Berdasarkan rekod, Figueiredo menempuh perjalanan karier yang sukar pada awalnya kerana gagal merebut tempat dalam skuad utama gergasi Brazil, Atletico Mineiro selepas hanya membuat tiga penampilan.
Namun, pemain yang dilahirkan di Sao Paulo dengan ketinggian 1.80 meter itu mencipta nama secara perlahan dengan memulakan karier di Liga Lithuania sebelum berhijrah ke Greece, UAE dan kini mewarnai saingan Liga Super Turkiye.

Bencana alam yang melanda Turkiye-Syria pada 2023 memberi tuah kepada Figueiredo apabila Gaziantep membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan kompetitif membuatkan dia berhijrah secara percuma ke Basaksehir dengan kontrak selama tiga tahun..
Kini, Figueiredo menjadi salah seorang nama wajib dalam senarai kesebelasan utama Cagdas Atan dan bakal membantu Basaksehir menghadapi kelayakan Liga Konferens Europa musim depan.
Pada saingan Liga Konferens Europa yang dimenangi Chelsea musim ini, Figueiredo membuat lima penampilan dengan empat daripadanya dalam kesebelasan utama bersama Basaksehir ketika menentang Rapid Vienna, NK Celje, FC Copenhagen, Petrocub dan Cercle Brugge.
Malangnya, Figueiredo yang meledak dua gol ketika pusingan kelayakan untuk layak ke fasa liga, gagal membantu Basaksehir meloloskan diri ke peringkat kalah mati.
Bagaimanapun, kekecewaan itu ditebus apabila dia menjadi antara watak penting Basaksehir mengakhiri Liga Super Turkiye musim ini di tangga kelima, di belakang juara, Galatasaray, Fenerbahce, Samsunspor dan Besiktas. – KOSMO! ONLINE
PROFIL
Nama penuh: Joao Vitor Brandao Figueiredo
Umur: 29 tahun
Tarikh lahir: 27 Mei 1996
Tempat lahir: Sao Paulo, Brazil
Ketinggian: 1.80 meter
Posisi: Penyerang
Kelab semasa: Istanbul Basaksehir (Turkiye)