Peneman bantu urus jemaah haji uzur

1 day ago 10

ARAFAH – Seramai 37 jemaah haji yang uzur, lanjut usia dan tidak mampu menguruskan diri dengan baik dibantu 38 petugas Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (Peneman) untuk urusan harian serta beribadah sepanjang Masyair.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, melalui program Peneman seramai 25 jemaah wanita dan 12 lelaki tersebut yang uzur dan sakit tersebut tidak mempunyai waris yang menemani mereka tahun ini.

“Jadi apa yang Tabung Haji (TH) buat ialah seramai 38 petugas haji terdiri 27 wanita dan 11 lelaki menjadi peneman kepada jemaah-jemaah haji yang uzur ini. Mengikut jumlah tadi seorang Peneman akan menguruskan seorang jemaah haji uzur.

“Tugas Peneman ini adalah mereka akan uruskan semua daripada bimbingan haji sehingga membantu pergerakan jemaah uzur ke tandas dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Na’im sempat melawat khemah jemaah serta khemah Peneman selain menyantuni dhuyufurrahman.

Dalam pada itu, beliau berkata, tugas Peneman tersebut memerlukan kesabaran, komitmen yang tinggi selain keikhlasan untuk membantu jemaah-jemaah kurang berupaya ini.

Jelasnya, tahun ini jumlah jemaah yang menyertai program Peneman menurun sedikit berbanding 50 jemaah pada musim haji yang lalu.

“Alhamdulillah semasa saya bercakap dengan jemaah-jemaah ini mereka menzahirkan rasa gembira dan bersyukur atas pengurusan terbaik yang dibuat TH melalui program peneman ini.

“Maknanya komitmen kita di Arafah ini adalah untuk memastikan segala keperluan kebajikan mereka di Arafah ini termasuklah keperluan fizikal serta rohani terjaga,” katanya.

Sementara itu, seorang jemaah wanita, Zaimah Abdul Majid, 60, yang mempunyai masalah kesukaran bergerak akibat kaki bengkak bersyukur terpilih menyertai program Peneman itu.

“Alhamdulillah, sepanjang berada di Arafah ini para petugas Peneman ini banyak memberikan bantuan termasuk membantu saya untuk ke tandas, saya amat menghargai segala bantuan yang diberikan,” katanya.

Menurut seorang jemaah lelaki, Fouzi Daud, 70, dia dapat beribadah serta meneruskan aktiviti harian seperti ke tandas selesa dengan dibantu para petugas Peneman.

Read Entire Article
Pertanian | | | |