KUALA LUMPUR – Cadangan pembinaan Loji Sisa-ke-Tenaga (WTE) Sultan Idris Shah (SIS) di Mukim Rawang disifatkan memenuhi piawaian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
Malah, ia juga turut menunjukkan satu langkah penting ke arah pengurusan sisa yang mampan di kawasan berpenduduk padat.
Menurut pakar alam sekitar, Dr. Tengku Hanidza Tengku Ismail, laporan EIA bagi projek berkenaan telah merangkumi impak terhadap air, udara dan sisa pepejal, sejajar dengan skop utama yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Laporan ini lengkap dari segi maklumat persekitaran semasa dan ramalan impak terhadap kesihatan serta sosial. Ia meletakkan asas kukuh untuk penilaian pembangunan loji WTE secara bertanggungjawab,” katanya.
Beliau yang juga bekas pensyarah Fakulti Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut mengingatkan bahawa kejayaan projek WTE bukan hanya bergantung kepada laporan teknikal semata-mata, tetapi juga kepada penyelesaian cabaran teknikal dan tahap penerimaan masyarakat setempat.
“Keperluan terhadap fasiliti pelupusan sisa yang lebih hijau dan lestari adalah mendesak, terutamanya di kawasan tanah besar yang berpenduduk padat. Namun, kita perlu bersedia menangani isu seperti kekurangan tenaga pakar teknikal dan penguatkuasaan yang lemah,” jelasnya.
Beliau menambah, walaupun loji WTE berpotensi menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap masalah lambakan sisa, ia perlu dilaksanakan dengan tadbir urus yang baik dan komunikasi telus agar tidak menimbulkan kebimbangan awam.
Laporan EIA bagi projek ini kini sedang dipamerkan kepada umum dari 7 Mei hingga 5 Jun 2025, dan tarikh akhir untuk penghantaran maklum balas awam ialah 20 Jun 2025.
Proses ini selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dan memberi ruang kepada masyarakat menilai serta menyuarakan pandangan mereka.
Projek Loji WTE SIS Rawang merupakan salah satu inisiatif utama Kerajaan Selangor dalam merealisasikan agenda ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui sambil mengurangkan kebergantungan kepada sistem pelupusan sisa secara terbuka yang semakin tidak mampan.
Untuk rekod, pada tahun 2023, Malaysia menghasilkan lebih 38,000 tan sisa pepejal sehari, dengan lebih 80 peratus daripadanya berakhir di tapak pelupusan.
Sebagai perbandingan, Indonesia pada Mac lalu mengumumkan perancangan membina 30 loji WTE menjelang 2029 di bandar-bandar utama seluruh negara.-KOSMO! ONLINE