GUA MUSANG – Seekor gajah turun minyak sebelum bertindak memijak dan membelit seorang pekerja ladang warga Nepal hingga parah dengan belalai selepas mendapati lelaki itu mengintai pergerakannya semasa berjalan di kawasan sebuah ladang dekat Pos Blau di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Shukri Abdulah @ Muti Bahadur Bayambu, 54, mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki, dada dan leher selepas diserang gajah liar.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa dipercayai dibelit dengan belalai sebelum dibawa lebih kurang 100 meter dari tempat kejadian sebelum dipijak gajah dan ditinggalkan di bawah bukit.
Katanya, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, mangsa melalui jalan di dalam ladang untuk pulang ke rumah kongsi dengan menunggang motosikal.
“Semasa berada pertengahan jalan ladang tersebut, mangsa mendapati ada kesan tapak gajah di atas jalan ladang itu.
“Mangsa bertindak mengintai haiwan itu dan tanpa disedari seekor gajah telah menyambar mangsa dengan belalainya dan membawanya lebih kurang 100 meter dari tempat kejadian dan dipijak sebelum meninggalkan mangsa di bawah bukit,” katanya.
Choon Foo memberitahu, lelaki itu dijumpai oleh pekerja ladang lain yang terdengar bunyi jeritan mangsa mengerang kesakitan.
Katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan. Lelaki itu hanya boleh bercakap dalam keadaan yang terhad dan perlahan kerana kesakitan.
“Mangsa akan dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya. Berdasarkan maklumat isterinya yang merupakan warga Indonesia, Muhammad Shukri sudah bekerja di ladang berkenaan sejak tiga tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE