PBAKL2025: Redah 400km demi buku fantasi

1 day ago 5

KUALA LUMPUR – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di sini bukan sahaja menerima kunjungan orang ramai dari Lembah Klang dan kawasan sekitarnya, tetapi turut menarik minat pengunjung dari Kedah dan Terengganu yang datang semata-mata mahu mencari buku-buku yang digemari.

Kehadiran mereka yang sanggup meredah perjalanan ratusan kilometer untuk bersama-sama memeriahkan PBAKL 2025 me­nunjukkan bahan bacaan seperti buku masih relevan biarpun berada di era digital yang kini dipenuhi dengan media sosial.

Seorang pengunjung dari Terengganu, Mohamed Adly Al-Khumaini Zahir Shah, 23, berkata, dia yang minat dengan buku bercorak fantasi sanggup datang dari jauh untuk mendapatkan koleksi terbaharu bahan bacaan genre tersebut.

Katanya, buku bercorak kisah cinta fantasi sememangnya sudah menjadi kegemarannya sejak di bangku sekolah kerana isi kandungannya lebih santai dan tidak terlalu ‘berat’ dengan gaya penulisan yang menarik.

“Saya memang minat dengan buku-buku berkisahkan fantasi dari dulu lagi.

“Sering tengok di media sosial tentang buku fantasi yang diberi rating tinggi oleh pembaca lain membuatkan saya hadir ke PBAKL kerana mahu cari lebih banyak buku sebegini,” katanya ketika ditemi di sini semalam.

pengunjung tidak melepaskan peluang mencari buku-buku kegemaran mereka di PBAKL 2025.

Pengunjung dari Kedah, Nurdini Qhadijah Azali, 17, pula berkata, selain berminat untuk membaca buku-buku berbentuk fantasi dia hadir ke PBAKL 2025 kerana mahu mencari buku-buku ber­corak seram dan psikologi.

Katanya, di PBAKL ini, dia juga boleh mendapat banyak bahan bacaan lain yang boleh menambahkan lagi pengetahuan.

“Saya rasa penganjuran pesta buku seperti ini amat bagus dan perlu dibuat sekerap mungkin kerana buku masih dicari penggemarnya biarpun berada di era media sosial yang boleh memperoleh maklumat di hujung jari,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Nur Alyaa Maisarah Hairul Azrin, 22, menyifatkan membaca buku kisah fantasi bukan sekadar hobi, tetapi satu bentuk ‘pelarian’ daripada tekanan masa kini.

“Saya suka berimaginasi dan sebab itu buku genre fantasi memang dekat dengan diri saya.

“Saya rasa lebih dekat dan mendapat motivasi setiap kali membacanya kerana ia terasa seolah-olah berkait dengan kehidupan seharian,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |