Pastikan tiada negara ASEAN ketinggalan kemajuan AI, komputer kuantum

5 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Dalam era ledakan teknologi digital yang kian pesat, ASEAN diingatkan agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum, yang kini menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan kestabilan keselamatan global.

Peringatan itu disuarakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa ucapan pembukaan Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) ke-36 yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Menurut beliau, penyertaan aktif ASEAN dalam dunia digital bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik yang mendesak bagi memastikan rantau ini tidak ketinggalan daripada arus transformasi global.

“Kemajuan teknologi akan membantu kita dalam perjalanan ini, asalkan kita mara bersama sebagai satu entiti.

“Yang paling utama, kita mesti memastikan bahawa tiada siapa yang ketinggalan, ketika kita menyediakan rantau ini untuk menghadapi cabaran masa depan dengan daya tahan dan pandangan jauh,” katanya.

Beliau berkata, keupayaan negara ASEAN untuk kekal bersatu, adaptif, dan inklusif dalam dunia yang semakin digital, saling berhubung dan kompleks.

Katanya, ini akan menjadi kunci kepada daya saing ASEAN serta kesinambungan kejayaan dan relevansinya.

“Sejarah ASEAN menjadi bukti nyata. Dalam perpaduan dan keteguhan, ASEAN telah mencipta peluang dan pembangunan luar biasa untuk rakyatnya.

“ASEAN mesti terus mara ke hadapan, dengan matlamat jelas dan dalam kesatuan untuk muncul lebih kukuh dalam menghadapi dunia yang penuh pergolakan, terpecah-pecah dan tidak menentu,” katanya.

Mohamad berkata, sehubungan itu mesyuarat hari ini dapat memberi peluang tepat untuk menilai kemajuan yang telah dicapai oleh ASEAN merentasi tiga tonggak utama gabungan iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya

“Penilaian ini penting memandangkan kita semakin menghampiri penghujung visi “ASEAN 2025: Menyahut Masa Depan Bersama” dan bergerak ke hadapan menuju masa depan menerusi “ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita”.

“Selain itu, sebagai persediaan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 esok, hari ini kita juga akan menyemak pelaksanaan keputusan dan komitmen yang telah dibuat oleh pemimpin semasa Sidang Kemuncak terdahulu di Vientiane,” katanya.

Katanya, mesyuarat juga menilai kemajuan dicapai oleh Timor-Leste dalam melaksanakan hala tuju keahlian penuhnya dalam ASEAN serta mempertimbangkan pelbagai laporan yang telah dikemukakan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |