PETALING JAYA – Usaha sepasang suami isteri berbangsa India untuk memiliki zuriat dengan mendapatkan bantuan daripada pengamal perubatan Islam mendapat perhatian ramai.
Perkongsian menerusi TikTok Pusat Perubatan Al-Mujahidin memaparkan seorang pengamal perubatan Islam sedang menjalankan proses rawatan ke atas si isteri.
Difahamkan, ketika rawatan dilakukan, pengamal tersebut mendapati terdapat gangguan pada badan wanita itu.
“Pasangan berbangsa India itu pada mulanya datang buat rawatan ikhtiar hamil, bila diruqyah dengan ayat al-Quran, sebaliknya ada gangguan dalam badan si isteri,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Bercerita lanjut, pengamal itu memberitahu wanita berkenaan sebelum ini, sering mengalami mimpi buruk ketika tidur dan kesihatan makin merosot.
“Sebelum ini, si isteri susah tidur malam, kerap bermimpi budak, binatang berbisa, bersetubuh dengan orang lain, tempat kotor, suami curang, jatuh tempat tinggi, tsunami dan banyak lagi.
“Dia sering sakit tengkuk, belakang, bahu, pening kepala, sakit pinggang senggugut, senang marah pada pasangan, rambut gugur serta berdebar tanpa sebab,” tambahnya.
Dalam pada itu, selepas menjalani proses rawatan tersebut, pengamal berkenaan berkata keadaan wanita tersebut kembali seperti biasa.
“Selepas rawatan, dia (si isteri) ada menghubungi saya dan maklumkan sudah boleh tidur, kitaran haid makin normal serta kesihatan makin baik,” jelasnya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata orang ramai turut berkongsi mempunyai tanda-tanda awal seperti yang dijelaskan oleh pengamal terbabit.
“Saya pun mimpi benda yang samalah macam yang diberitahu. Macam mana ini ye. Betul-betul sama atau hanya kebetulan sahaja,” kata Kedai Omak.
“Apa maksud selalu bermimpi tempat kotor sebab saya pun kerap mimpi masuk tandas kotor. Terlalu kerap,” komen SM. -KOSMO! ONLINE