‘Pandai PMX nyanyi lagu filem Sangam’

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Aksi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanyikan lagu daripada filem klasik Bollywood, Sangam mencuri perhatian pengguna media sosial.

Menerusi rakaman video yang tular di Threads, Anwar dilihat berdiri di sisi sebuah piano sambil menyanyikan lagu Hindi bersama seorang lelaki yang mengiringinya dengan alat muzik berkenaan.

Dalam rakaman itu, Anwar antaranya menyanyikan lagu Yeh Mera Prem Patra Padh Kar nyanyian Kishore Kumar sebelum meneruskan dengan Dost Dost Na Raha, Pyar Pyar Na Raha yang dipopularkan Mukesh.

Kedua-dua lagu tersebut merupakan antara lagu daripada filem Sangam yang diterbitkan pada 1964.

Lebih mencuri perhatian, Anwar dilihat cukup menghayati nyanyian selain mampu mengikuti melodi serta lirik lagu berkenaan.

Perkongsian tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-rata terhibur melihat sisi santai Perdana Menteri itu.

“PMX memang suka lagu ini, dia hafal sebab lagu dari filem Sangam ini memang sedih tentang kawan yang tikam belakang. Apa-apalah, yang penting kita kekalkan kejujuran,” tulis @ummuhani4105.

“Tajuk lagu Dost Dost Na Raha, OST Sangam (1964). Lagu yang sama PMX pernah nyanyi tahun 2024 semasa lawatan beliau ke India sebelum pulang ke Malaysia.

“Mungkin lagu kegemaran beliau. Tapi untuk konteks, maksud dia memang sangat mendalam,” tulis @amarrrf.

Terdahulu, Anwar kini berada di India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi yang berlangsung pada 12 dan 13 September. Malaysia menyertai sidang kemuncak itu sebagai Negara Rakan BRICS.

Dalam rangka lawatan berkenaan, Anwar turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi bagi membincangkan antaranya kerjasama perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, ekonomi digital, tenaga, pendidikan serta pelancongan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |