UMNO mahu penyatuan kukuhkan kuasa politik Melayu

16 hours ago 9

KUALA LUMPUR – UMNO mahu usaha penyatuan Melayu diperkukuh bagi mengembalikan kuasa serta kedudukan politik orang Melayu yang disifatkan semakin lemah akibat kewujudan pelbagai parti politik Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyatuan Melayu yang diperjuangkan parti itu bukan sekadar slogan atau jenama politik, sebaliknya merupakan iltizam untuk mengukuhkan kedudukan bangsa Melayu.

Menurut beliau, orang Melayu perlu menghindari segala bentuk perpecahan kerana keadaan itu hanya akan memudaratkan kepentingan bangsa dan tanah air dalam jangka panjang.

“Hari ini, di sebalik kebanjiran pelbagai parti politik Melayu, kuasa dan kedudukan politik orang Melayu tidak semakin baik. Malah, semua kebanjiran ini melemahkan kedudukan politik Melayu,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, penyatuan Melayu juga penting bagi memastikan kuasa politik Melayu terus dihormati rakan-rakan di Sabah dan Sarawak serta memberikan legitimasi kepada orang Melayu untuk terus mengemudi pemerintahan negara.

Katanya, penyatuan Melayu perlu dilaksanakan secara meyakinkan dan tidak menakutkan masyarakat lain, selain tidak dibina dengan menjatuhkan kaum lain atau menggunakan pendekatan ekstrem.

“Penyatuan Melayu mesti diterjemahkan dengan cara yang menimbulkan rasa hormat, kebersamaan dan rasa selamat, bukan dengan cara ekstrem, menakutkan atau tidak rasional,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, ancaman keselamatan negara kini semakin kompleks dan bersifat hibrid, termasuk peperangan kognitif yang menggunakan disinformasi, propaganda digital, operasi psikologi serta kecerdasan buatan untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat.

Katanya, ancaman itu berpotensi mencetuskan polarisasi, perpecahan dan ketidakharmonian masyarakat, justeru Kementerian Pertahanan memberi fokus kepada pembangunan people’s resilience sebagai benteng menghadapi ancaman berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata UMNO perlu memainkan peranan membina ketahanan rakyat menerusi politik matang, rasional dan tidak ekstrem, manakala usul Pergerakan Puteri untuk menaikkan had umur keahlian sayap itu hanya akan diputuskan selepas PRU akan datang bagi memastikan seluruh parti memberi fokus kepada usaha memenangi pilihan raya.- KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |