KISAH seram di hospital bukan perkara asing, apatah lagi apabila bertugas pada awal pagi ketika kebanyakan orang sedang lena diulit mimpi.
Namun bagi Liza (bukan nama sebenar), pengalaman bertemu seorang ‘pesakit’ bernama Adam di ruang kecemasan sebuah hospital di Sabah masih sukar dilupakannya.
Menurut Liza, kejadian itu berlaku ketika dia bertugas pada awal pagi bersama tiga lagi rakan.
“Keadaan di ruang kecemasan ketika itu agak sunyi kerana tiada banyak pesakit yang mendapatkan rawatan.
“Pada satu ketika, dua petugas lelaki keluar sebentar untuk membeli minuman di kedai berhampiran, jadi tinggallah saya bersama seorang rakan perempuan di ruang kecemasan,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, tidak lama selepas itu, seorang lelaki tiba-tiba muncul di depan pintu masuk.
Tubuh lelaki tersebut dipenuhi darah, manakala pakaiannya juga kelihatan kotor dan sedikit koyak.
Dia kemudian berjalan perlahan sebelum meminta bantuan kerana baru saja mengalami kemalangan.
Melihat keadaan lelaki tersebut, Liza dan rakannya segera membawa pemuda itu ke bilik rawatan. Dia kemudian menghubungi doktor bertugas sebelum memulakan rawatan kecemasan.
Namun ketika sedang membersihkan luka lelaki itu, Liza mula merasakan sesuatu yang pelik, bulu romanya tiba-tiba meremang.
Ruang rawatan yang pada awalnya terasa biasa seolah-olah berubah menjadi dingin.
Beberapa kali Liza terasa seperti ada seseorang sedang berdiri di belakangnya. Dia beberapa kali menoleh, namun tiada sesiapa di situ.
Bagaimanapun, sebagai seorang jururawat, Liza cuba mengetepikan perasaan tersebut kerana baginya, pesakit tetap perlu diberikan rawatan tanpa mengira keadaan.
Kongsi Liza, selepas selesai merawat, dia mengambil kad pengenalan lelaki berkenaan untuk mendapatkan maklumat pesakit. Ketika melihat nama pada kad tersebut, dia mendapati lelaki itu bernama Adam.
“Saya kemudian meneruskan tugasan seperti biasa. Tidak lama selepas itu, dua petugas lelaki yang keluar membeli minuman tadi kembali ke ruang kecemasan.
“Saya mengambil kesempatan memberitahu mereka mengenai pesakit yang baru sahaja mendapatkan rawatan tadi,” ujarnya.
Namun, apabila kedua-dua lelaki itu masuk untuk melihat keadaan pesakit, mereka keluar semula dengan wajah kehairanan.
Mereka memberitahu, tiada sesiapa di bilik rawatan.
Liza yang mendengar perkara tersebut terus bergegas masuk, dan memang benar bilik rawatan itu kosong.
Mereka kemudian memeriksa kawasan sekitar, tetapi tidak menemukan sesiapa. Pintu masuk juga tidak menunjukkan tanda bahawa lelaki tersebut keluar dari hospital.
Dalam keadaan takut, Liza teringat bahan rawatan yang digunakan sebelum itu. Dia membuka tong sampah dan memeriksa kapas yang digunakan untuk membersihkan luka Adam.
Apa yang dilihat di dalam tong sampah membuatkan Liza semakin berasa tidak sedap hati kerana kapas tersebut bersih dan tiada kesan darah.
Belum sempat Liza memahami perkara tersebut, pandangannya tiba-tiba tertumpu ke arah pintu masuk ruang kecemasan.
Seorang lelaki yang kelihatan seperti Adam sedang berdiri sambil memandang tepat ke arah Liza, kemudian dia tersenyum.
Liza tidak sempat berbuat apa-apa kerana tiba-tiba bunyi siren ambulans kedengaran dari luar hospital.
Sebuah ambulans berhenti di hadapan ruang kecemasan. Beberapa petugas segera membawa masuk seorang lelaki yang tidak sedarkan diri selepas terlibat dalam kemalangan.
Liza yang ketika itu masih terkejut dengan kejadian sebelumnya tetap menjalankan tugas. Namun, sebaik sahaja melihat wajah mangsa di atas pengusung, tubuh Liza terasa kaku.
“Wajah, bentuk tubuh dan pakaian lelaki itu sama dengan lelaki yang baru sahaja saya rawat iaitu Adam.
“Bezanya, kali ini Adam benar-benar berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan baru sahaja dibawa masuk oleh ambulans,” kongsinya.
Liza cuba mengetepikan ketakutan lalu membantu memberikan rawatan kecemasan. Pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan nyawa lelaki tersebut, namun Adam akhirnya gagal diselamatkan.
Selepas keadaan kembali tenang, Liza masih cuba memahami apa yang berlaku. Jika lelaki yang dibawa ambulans itu ialah Adam, siapakah lelaki yang datang mendapatkan rawatan sebelum itu?
Persoalan tersebut tidak pernah mendapat jawapan.
Bagi Liza, kejadian itu menjadi peringatan bahawa ketika bertugas pada awal pagi, ada entiti tidak dapat dilihat oleh mata kasar di sekeliling kita.

3 hours ago
3












































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)




