GEORGE TOWN – Keluarga pendaki Malaysia, Muhammad Zaki Othman, 29, yang masih gagal dijejak akibat banjir besar di Nepal, 26 Ogos lalu terus menaruh harapan agar menerima berita positif mengenai keselamatan adik mereka.
Kakak Muhammad Zaki meluahkan harapan itu menerusi status WhatsApp yang dimuat naik malam tadi.
Harapan itu turut diberikan kepada dua lagi rakan Muhammad Zaki iaitu Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, dan Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, agar mereka ditenukan dalam keadaan selamat.
“Hari ke-19 tanpa khabar berita. Kami di sini sentiasa mendoakan adik Zaki, Adib dan Muhaimin dalam keadaan selamat dan berada dalam lindungan-Nya. Still hoping for positive news,” tulisnya.
Turut disertakan gambar ketiga-tiga pemuda berkenaan dipercayai dirakam sebelum mereka memulakan aktiviti pendakian di Nepal.
Semalam, media melaporkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dijangka pulang ke Malaysia sama ada Sabtu atau Ahad (hari ini) selepas menjalankan operasi mencari dan menyelamat susulan banjir dan tanah runtuh yang melanda Nepal.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, tindakan seterusnya akan ditentukan selepas laporan dan penilaian dibuat oleh SMART dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Muhammad Zaki bersama Muhammad Muhaimin dan Muhammad Adib dilaporkan gagal dihubungi ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal, lebih dua minggu lalu.
Ketiga-tiga mereka dipercayai berada di kawasan berkenaan ketika banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu.
Terdshulu, Kosmo! Online melaporkan firasat bapa pendaki Malaysia, Muhammad Zaki kuat mengatakan yang anak kesayanganya itu masih berada di puncak gunung Nepal bersama dua rakan baiknya, namun mereka cuma terputus komunikasi. -KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3












































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)




