Kehalusan seni budaya Melayu pada kek buatan tangan

2 hours ago 3

HAMPIR 10 tahun menguruskan premis pencuci mulut, Nor Balkish Huzman tidak menganggap kek sekadar pencuci mulut biasa demi memeriahkan suasana meraikan detik bermakna seseorang.

Sebaliknya kek dijadikan sebagai kanvas seni untuk berkarya dan mewujudkan pelbagai rupa bentuk seperti bangunan, pakaian beruniform, ukiran songket, watak animasi, haiwan atau apa saja objek.

“Saya mula meminati dunia pembuatan kek sejak seawal umur sembilan tahun kerana ibu saya merupakan seorang cef pastri.

“Tunjuk ajarnya itu membuatkan saya mempelajari asas pembuatan kek dan semakin jatuh cinta dengan seni menghias kek walaupun mempunyai latar belakang pendidikan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam tetapi minat terhadap seni kek tidak pernah padam,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Pengasas Pemanis Mulot by Akish yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor itu memberi tumpuan kepada penghasilan seni halus artisan kek yang dibuat sepenuhnya secara buatan tangan.

Dalam pembikinan dekorasi kek yang unik dan mempunyai nilai seni tersendiri, pemilihan bahan menjadi antara aspek paling penting.

Bahan utama yang sering digunakan ialah fondant, doh gula (gum paste), modelling chocolate, buttercream, chocolate ganache dan royal icing.

Setiap bahan mempunyai tekstur serta kelebihan tersendiri dan pemilihannya bergantung kepada rekaan yang ingin dihasilkan.

Proses menghias kek bukan sekadar mencantikkan permukaan kek, sebaliknya memerlukan ketelitian, kreativiti dan kesabaran bagi memastikan setiap perincian dapat diterjemahkan dengan baik.

“Sebagai contoh, bunga dan figura biasanya menggunakan doh gula kerana lebih mudah dibentuk.

“Bagi menghasilkan corak songket, batik dan ukiran tradisional yang halus, saya sering menggabungkan beberapa jenis bahan bagi mendapatkan tekstur, kedalaman dan kemasan yang menyerupai seni asal.

Bangunan dengan seni bina artistik berjaya dibina dalam bentuk kek.

“Setiap figura perlu dikaji dari segi bentuk, saiz, tekstur serta warna dan adakalanya satu figura mengambil masa berjam-jam atau beberapa hari untuk disiapkan kerana setiap bahagian diukir satu persatu secara manual.

“Apabila menghasilkan elemen budaya seperti tanjak, keris atau songket saya turut membuat rujukan terhadap motif asal supaya hasilnya bukan sekadar cantik, malah menghormati keaslian warisan tersebut,” katanya.

Faktor cuaca panas dan lembap juga boleh mempengaruhi tekstur fondant dan doh gula sekali gus menyukarkan proses membentuk.

Alat asas yang digunakan termasuk rolling pin, acuan pemotong fondant, alat ukiran, berus halus, piping bag serta pelbagai jenis nozzle.

Selain itu, penggunaan airbrush dan peralatan khas turut membantu menghasilkan kemasan yang lebih realistik terutama bagi mencipta kesan warna, bayangan dan tekstur yang lebih terperinci.

“Namun bagi menghasilkan motif warisan Melayu, kebanyakan ukiran masih dilakukan secara manual kerana sentuhan tangan mampu menghasilkan perincian yang lebih asli dan mempunyai nilai seni yang tinggi.

“Setiap rekaan perlu mempunyai identiti tersendiri dan sentiasa tampil dengan idea yang segar supaya seni warisan kita dapat dipersembahkan dalam bentuk yang lebih moden tanpa menghilangkan nilai asalnya.

“Saya mengharapkan mereka bukan sahaja melihat kek sebagai pencuci mulut tetapi turut menghargai kehalusan seni dan budaya Melayu yang diterjemahkan dalam bentuk yang unik,” ujarnya.

Berkongsi tentang pembikinan hiasan kek, proses bermula dengan sesi perbincangan bersama pelanggan mengenai tema dan rekaan sebelum kek disalut dengan fondant serta diteruskan dengan proses menghias.

“Semua elemen seperti bunga, figura atau aksesori dibuat secara berasingan sebelum dipasang pada kek.

“Sekiranya rekaan melibatkan unsur warisan Melayu, saya akan mengkaji dahulu motif, corak dan simbol yang ingin diketengahkan kerana setiap ukiran mempunyai nilai seni dan maksudnya yang tersendiri,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |