PETALING JAYA – Seorang pengguna media sosial dikecam teruk gara-gara memuat naik hantaran mengutuk beg tangan berjenama, Longchamp yang disamakan seperti ‘recycle bag’ (beg kitar semula) bagi orang-orang kaya.
Pengguna tersebut dalam satu ciapannya berkata, orang ramai perlu mengelakkan daripada membeli beg tersebut kerana tidaklah semewah yang disangkakan.
“Dalam banyak-banyak beg, elaklah beli Longchamp. Orang-orang Bangsar buat beg tu sebagai ‘recycle bag’ untuk barang-barang basah.
“Tak pelik bila kau lihat pemandu atau pembantu dorang angkat barang-barang basah guna beg Longchamp. Ada yang pakai Louis Vuitton juga. Aku kesian tengok orang beriya beli Longchamp sekali bila ke Bangsar, nahhhhhh..,” ciapnya.
Susulan itu, ciapan itu mendapat reaksi negatif malah kecaman teruk daripada pengguna lain yang menganggap ianya hak masing-masing untuk menggayakan apa jua jenis pakaian dan aksesori yang ada.
“Pakai je lah beg apa nak pakai pun. Tak perlu validasi orang lain untuk apa kita pakai dan guna. Dan ada apa dengan rujukan ‘Orang Bangsar’ ni? Tak kagum langsung,” katanya.
Selain itu pengguna tersebut berkata beg Longchamp sememangnya sangat praktikal untuk diguna untuk meletak barang-barang yang dibeli kerana ruang yang besar.
“Saya ada lima beg Longchamp, sebab ada ruang yang besar, praktikal, muat masuk tablet, botol air, ‘powerbank’, telekung dan lain-lain.
“Saya rasa dia ni ada penyakit hati ni sampai benda ni pun nak kena sakit kepala lepas tu muat naik status pasal hal orang lain dan beg mereka,” ciap pengguna wanita berkenaan.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang bersetuju dengan pengguna wanita berkenaan malah memberikan kecaman kepada pemilik ciapan asal yang mengutuk beg Longchamp itu.
“Haha dia baru tahu ke? Beg Longchamp saya bukan setakat barang basah, boleh letak lampin anak siap, makanan kucing, barang suami segala. Tu pun sebab saya beli pada asalnya. Saya tak tinggal dekat Bangsar pula,” komen Midori.
“Kisah pula orang lain nak buat apa dengan beg tu. Pakai jelah beg apa nak pakai. Tak perlu fikir tentang orang lain. Selagi sesuatu bermanfaat, guna je,” komen Ado.
“Beg ni tujuannya untuk kita simpan barang. Bukannya kita nak menunjuk jenama mewah ke apa. Kalau nak menunjuk tu, bawa-bawa lah bersihkan hati,” komen Nabila pula. – KOSMO! ONLINE