EJEN ALI kini bukan sekadar produk animasi lokal semata-mata sebaliknya sudah menjadi simbol keunggulan karya anak Malaysia yang berjaya menembusi sempadan imaginasi dan teknologi.
Naskhah tersebut bukan hanya buat tontonan si cilik, malah disegani peminat animasi seluruh pelosok usia.
Selepas kejayaan cemerlang pada 2019, nadi Wau Animation kembali berdenyut garang menerusi Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), sekuel padat aksi, emosi dan adrenalin yang memahat kemegahan baharu kepada landskap animasi tempatan.
Tayangan perdana filem berkenaan sudah cukup untuk menjentik rasa bangga penulis, biarpun hadir dengan jangkaan rendah kerana sudah arif akan kredibiliti pengarahnya, Usamah Zaid Yasin iaitu lelaki di balik tirai magis bernama Ejen Ali.
Menonton hampir dua jam naskhah ini umpama menaiki roller coaster tanpa henti, naik turun adrenalin, sarat kejutan, penuh warna dan menyesakkan dada.
Aspek visualnya benar-benar mengundang rasa kagum. Dari segi kehalusan tekstur kulit hinggalah gerakan aksi yang bersifat kinetik, animasi dalam filem ini menunjukkan peningkatan luar biasa berbanding siri atau filem terdahulu.
Begitu juga dengan sut Satria yang disarung Ali. Semua itu bukan hanya perisai fizikal, tetapi lambang kematangan dan beban tanggungjawab berat.

Setiap gerakan terasa tangkas, pintar dan strategik memperlihatkan betapa watak utama ini telah berevolusi sepenuhnya.
Bukan sekadar Ali. Watak-watak seperti Alicia, General Rama, Neonimus dan mentor Teras lainnya turut menerima nafas baharu.
Dinamika antara Ali dan Alicia misalnya, tidak lagi dibalut ego atau perselisihan remeh. Kini, mereka berdiri atas dasar hormat dan kepercayaan sekali gus mempamerkan simbol kematangan dua ejen yang dahulu bertelagah.
Watak Neonimus pula, membawa aura misteri yang mampu membakar emosi penonton.
Jujurnya, penulis sempat memaki hamun karakter itu, tindakannya terhadap Cyberaya bukan sekadar konfrontasi tipikal, tapi refleksi kepada pergelutan antara kuasa dan nilai kemanusiaan.

Aksi padat
Dari babak pertama hingga ke akhir, filem ini sarat dengan aksi berskala besar. Pertempuran mentor Teras dan barisan antagonis memberi dimensi baharu kepada filem animasi tempatan.
Runut bunyi? Jangan dipertikai. Lagu Hanya Kamu (M. Nasir), Teman Sejati (Nidji) dan Penjuara (Hael Husaini) bukan sekadar hiasan bunyi sebaliknya meresap ke dalam adegan, menyatu emosi dengan penceritaan.
Bagi penulis yang juga seorang pencinta filem, tiada naskhah adiwira yang sempurna tanpa ‘plot twist’ dan EATM2 cukup bijak.
Dari satu babak ke satu babak, penonton dibawa berfikir, meneka, malah berkali-kali terasa terperdaya dengan percaturan cerita.
Tidak ketinggalan, dua ‘post-credit’ babak wajib ditunggu. Satu di pertengahan kredit, satu lagi betul-betul ketika penamat. Kedua-duanya bukan sekadar bonus, tapi ‘hint’ kepada apa yang mungkin bakal meledak dalam alam Ejen Ali selepas ini.
Tidak perlu mengulas panjang. cukup sekadar menyatakan, ini bukan filem untuk kanak-kanak semata sebaliknya karya intelektual untuk semua peringkat usia yang mendidik tentang perjuangan, pengorbanan dan pilihan yang harus dibuat meskipun menyakitkan.
Daripada skrip yang kemas, susun atur cerita sangat rapi, karakter berlapis hingga visual sinematik bertaraf antarabangsa, semuanya saling melengkapi dalam satu gubahan sempurna.
