KULIM – Seorang operator kilang maut selepas motosikal yang dia tunggang dipercayai melanggar seekor kerbau yang melintas jalan di persimpangan lampu isyarat Batu Putih di Jalan Kulim-Mahang, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, lelaki berusia 43 tahun terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan tangan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM dipercayai dari arah Kulim menghala ke Mahang.
“Sebaik sampai di jalan berhampiran lampu isyarat Batu Putih, seekor kerbau dikatakan melintas dari kiri ke kanan jalan lalu berlaku perlanggaran dengan mangsa yang sedang bergerak lurus di laluan utama.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala serta tangan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pengawal keselamatan berusia 54 ditemukan meninggal dunia di Taman Kenangan, Sungai Karangan, di sini kira-kira pukul 6 petang semalam.
“Lelaki itu dikatakan dari arah rumahnya di Taman Kenangan hendak ke tempat kerja di Juru, Pulau Pinang dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15Z.
“Orang awam yang juga kenalan mangsa kemudian menghubungi waris dan ambulans untuk tindakan lanjut. Mangsa tidak mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi itu oleh Pembantu Perubatan Hospital Kulim,” ujarnya.
Katanya, hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada mangsa yang secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan disyaki akibat serangan jantung.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE