Olahan istimewa perapan gepuk resipi keluarga

7 hours ago 6

FENOMENA ayam gepuk bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Di mana-mana saja ada kedai yang menawarkan menu istimewa itu. Walaupun pedas, tetapi menjadi kesukaan ramai, lebih-lebih lagi dalam kalangan Gen Z (Generasi Z).

Populariti ayam gepuk di negara ini disokong oleh perkongsian di media sosial oleh Gen Z hingga membuatkan menu Nusantara itu mendapat tempat di hati masyarakat.

Menyedari fenomena itu, Ayam Gepuk 57 yang terletak di Wisma Central, Kuala Lumpur turut tidak mahu ketinggalan dengan menawarkan pelbagai menu gepuk untuk pencinta makanan pedas.

Menurut Pengurus Ayam Gepuk 57, Lia Mardiana Maidin, kedai makan itu baru beroperasi dua bulan, tetapi menu gepuk telah dijual di Warong Maa Abah iaitu salah satu kedai makan keluarganya sejak tiga tahun lalu.

“Menu gepuk di Warong Maa Abah sangat disukai ramai, jadi kami membuat keputusan untuk membuka kedai makan yang hanya memberi fokus kepada menu gepuk.

“Kedai Ayam Gepuk 57 dibuka bersebelahan Warong Maa Abah dengan menawarkan lima pilihan menu iaitu ayam gepuk, keli gepuk, daging gepuk, bebek gepuk dan ikan bekok gepuk.

“Untuk menu ini, kami bahagikan kepada dua iaitu original dan special. Bezanya, gepuk special didatangkan bersama lapan jenis ulam dalam satu set hidangan.

“Lapan jenis ulam tersebut adalah terung kecil, terung ungu, terung besar, salad, kubis, goreng, kubis mentah dan tomato,” katanya.

Lia Mardiana menambah, keistimewaan Ayam Gepuk 57 terletak pada olahan perapan dan sambal yang merupakan resipi turun-temurun keluarganya.

“Ikan, ayam, itik, daging semuanya kita perap kira-kira dua hari sebelum sedia untuk digoreng.

“Bagi ayam, itik dan daging, kita akan rebus bersama bahan istimewa terlebih dahulu kira-kira 30 minit, kemudian diperap selama dua hari, sebelum sedia untuk digoreng.

“Proses penyediaan yang rumit ini membuatkan menu gepuk kami mempunyai rasa lebih enak dan lain daripada lain.

“Daging gepuk kami garing tetapi lembut berjus di dalamnya.

“Selain itu, olahan sambal pula menggunakan 100 peratus kacang gajus, di mana sehari kami menggunakan kira-kira 20 kilogram cili dengan menawarkan dua pilihan sambal iaitu pedas dan ekstra pedas,” katanya yang berasal dari Pengkalan Kubor, Kelantan.

Tambahnya, kepedasan sambal itu disepadukan dengan rasa kicap pekat manis yang diimport dari Indonesia, sekali gus membuatkan menu gepuk sangat enak dan diminati oleh pelbagai golongan serta usia.

Berkongsi menu signatur Ayam Gepuk 57, Lia Mardiana memberitahu, antara menu yang menjadi pilihan ramai adalah itik, ayam dan ikan bekok.

“Setakat ini, tidak ada kedai gepuk yang menawarkan menu ikan bekok gepuk sehinggakan ramai tertarik hendak mencuba, lebih-lebih lagi orang dari Pantai Timur,” ujarya.

Sementara itu, Lia Mardiana memberitahu, Ayam Gepuk 57 boleh didapati di cawangan keduanya di Shah Alam bagi memenuhi permintaan orang ramai di luar kawasan Kuala Lumpur.

“Cawangan kedua kami menggunakan konsep yang sama dan pilihan menu gepuk serupa seperti di cawangan Kuala Lumpur,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |