Hari terakhir cuti sekolah, trafik lebuh raya masih lancar

7 hours ago 6

PETALING JAYA – Aliran trafik di lebuh raya bertol seluruh Semenanjung dilaporkan lancar dan terkawal setakat pukul 9.29 pagi tadi.

Lembaga Lebuhraya (LLM) memaklumkan, keadaan trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan membabitkan bahagian utara, tengah dan selatan bergerak lancar, termasuk semua lebuh raya bertol di sekitar Lembah Klang.

Menurut LLM, situasi sama turut direkodkan di laluan menuju Pantai Timur membabitkan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

“Secara keseluruhannya aliran trafik di semua lebuh raya bertol melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan, di bahagian utara, tengah dan selatan bergerak lancar dan terkawal.

“Situasi yang sama juga bagi semua lebuh raya bertol di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, LLM memaklumkan trafik perlahan dikesan di Lebuh Raya E28, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS), arah timur.

Keadaan itu berlaku sebelum memasuki Plaza Tol Bandar Cassia susulan gangguan sistem di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Sementara itu, hari ini merupakan hari terakhir Cuti Penggal 2 Tahun 2026 bagi sekolah Kumpulan B yang bermula sejak 29 Ogos lalu selama sembilan hari.

Berdasarkan Kalendar Akademik Tahun 2026 Kementerian Pendidikan (KPM), sesi persekolahan bagi sekolah Kumpulan B akan bersambung semula esok, 7 September.

Kumpulan B merangkumi sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Justeru, aliran trafik dijangka berpotensi meningkat terutama pada sebelah petang dan malam apabila orang ramai mula pulang ke kediaman masing-masing menjelang pembukaan semula sekolah.

Bagi sekolah Kumpulan A melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu pula, Cuti Penggal 2 telah berakhir semalam dan sesi persekolahan bersambung semula hari ini.– KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |