[VIDEO] Jerebu, Indonesia terbukti negara dunia ke-3 sebenar – KJ

3 hours ago 4

PETALING JAYA – Masalah jerebu yang melanda Malaysia didakwa berpunca daripada pembakaran pertanian serta kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia yang asapnya dibawa angin merentasi sempadan.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, setiap kali berlaku kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia, asap berkenaan lazimnya boleh bergerak ke Malaysia, Singapura dan Brunei.

Beliau turut mengkritik tahap penguatkuasaan di Indonesia dalam menangani pembakaran terbuka serta jenayah alam sekitar, termasuk tindakan terhadap syarikat yang didakwa terbabit.

“Masalah ini tidak dapat diselesaikan antara lain kerana, maaf saya katakan kepada rakan-rakan di Indonesia, kita tinggal bersebelahan dengan sebuah negara dunia ketiga yang sebenar.

“Penguatkuasaan di lapangan masih kurang. Saya bukan mengatakan Malaysia tidak mempunyai masalah dari segi penguatkuasaan, tetapi ini benar-benar sebuah negara yang boleh dianggap sebagai republik pisang,” katanya dalam rancangan bual bicara Keluar Sekejap.

Menurut beliau, rekod Indonesia dalam mendakwa syarikat atas kesalahan jenayah alam sekitar juga disifatkan lemah, manakala proses perundangan mengambil masa bertahun-tahun.

Beliau berkata, tindak balas kerajaan Indonesia terhadap isu berkenaan dilihat lebih bersifat pasif dan reaktif, termasuk melalui usaha memadam kebakaran serta pelaksanaan pembenihan awan.

“Sedangkan punca sebenar seperti penguatkuasaan yang lemah, kekebalan korporat apabila tiada tindakan diambil terhadap mereka serta amalan pembukaan tanah secara murah masih berlaku seperti biasa,” katanya.

Tambah beliau, keadaan itu akhirnya mewujudkan kesan luaran (externality) yang terpaksa ditanggung Malaysia serta negara jiran seperti Singapura dan Brunei.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata Malaysia boleh bersimpati dengan cabaran yang dihadapi Indonesia sekiranya pendekatan negara berkenaan tidak bersifat menolak atau defensif.

“Namun, saya sudah melihat perkara ini berlaku berkali-kali. Sikap menolak dan defensif adalah satu perkara, tetapi terdapat juga perasaan seolah-olah mempunyai hak untuk berkata, ‘Ini berlaku di sempadan kami, jadi tidak mengapa, terima sahaja’.

“Sedangkan kita secara harfiah terpaksa menghirup asap dan jerebu dari negara anda,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |