ALOR SETAR – Cadangan untuk memindahkan penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) ke Melaka dikhuatiri memberi tempias negatif kepada industri pelancongan dan ekonomi penduduk di Langkawi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, ia menimbulkan keresahan dalam kalangan pemain industri ketika kerajaan negeri giat menangani pelbagai isu di pulau tersebut termasuk berkaitan feri.
“Dalam kita sedang mendapatkan kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu besar iaitu feri dan pulangkan keistimewaan sebagai pulau bebas cukai yang mana semua usaha ini adalah untuk menggemilangkan Langkawi, tiba-tiba ada satu cadangan untuk pindahkan penganjuran LIMA ke negeri lain.
“Saya rasa pelik dan ini tidak sepatutnya berlaku kerana LIMA ini sebenarnya lebih daripada tiga dekad sudah serasi dengan Langkawi itu sendiri. Kalau nak majukan mana-mana negeri dalam sektor pelancongan tak perlu sebenarnya untuk kita ketengahkan satu cadangan yang buatkan pemain industri dan juga orang ramai resah kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir merasmikan Majlis Maulidur Rasul Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan di Masjid Al Ummah Telok Chengai, di sini hari ini.
Mohd. Salleh mengulas tentang kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa kerajaan sedang meneroka alternatif untuk menjadikan Melaka khususnya Klebang sebagai lokasi penganjuran LIMA pada masa hadapan.
Mengulas lanjut kata Mohd. Salleh, kerajaan negeri juga sedang berusaha mendapatkan semula keistimewaan pulau bebas cukai yang pernah dinikmati Langkawi bagi memperhebatkan semula sektor pelancongan di pulau berkenaan.
Beliau berkata, usaha untuk memajukan mana-mana negeri dalam sektor pelancongan sepatutnya dilakukan dengan mewujudkan produk atau tarikan baharu bukannya mengambil produk yang mempunyai identiti tersendiri di sesuatu tempat. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4
![[VIDEO] Jerebu, Indonesia terbukti negara dunia ke-3 sebenar – KJ](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-05-at-14.51.17.jpeg)














































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)