KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai kembali menemui sentuhan terbaik apabila meneruskan kemaraan ke separuh akhir Masters China 2026 selepas menyingkirkan pasangan tuan rumah, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying di Shenzhen Arena, hari ini.
Pilihan kelapan kejohanan itu tampil cukup meyakinkan apabila hanya memerlukan 35 minit untuk menamatkan cabaran Gao-Wu menerusi kemenangan straight set 21-15, 21-11 pada aksi suku akhir.
Kemenangan tersebut bukan sahaja mengukuhkan rekod pertemuan Goh-Shevon kepada 2-0 ke atas pasangan China itu, malah memberi suntikan keyakinan selepas mereka bergelut mendapatkan prestasi terbaik sejak tahun lalu.
Shevon mengakui lawan cuba mengubah corak permainan selepas rehat set kedua dengan memberikan tekanan kepadanya di bahagian tepi gelanggang, namun pasangan negara pantas membaca taktikal tersebut.
“Pasangan China itu menerima arahan berbeza daripada jurulatih sebelum rehat dan mereka cuba menolak saya ke bahagian tepi serta mengubah arah pergerakan.
“Selepas rehat, kami berbincang dan cuba mengatasinya supaya mereka tidak terlalu kerap menolak saya ke tepi. Ia berhasil dan kami dapat meraih semula mata, manakala lawan pula sedikit hilang fokus,” katanya.
Soon Huat pula menyifatkan persediaan lebih terperinci selepas pernah berdepan Gao-Wu sebelum ini membantu mereka mengawal permainan.
“Kami menyediakan pelan permainan dan rentak dengan baik kerana ini kali kedua bertemu mereka. Jadi, kami cuba kekal dengan rancangan, meningkatkan kelajuan pergerakan dan lebih menyerang untuk mendapatkan kelebihan,” katanya.
Shevon mengakui kemaraan tersebut sedikit di luar jangkaan berdasarkan laluan sukar yang perlu ditempuh.
“Sejujurnya, kami tidak menjangka dapat pergi sejauh ini kerana melihat undian, kami mendapat laluan yang agak sukar. Kami juga bergelut dengan prestasi sejak tahun lalu. Hari ini kami benar-benar berjaya mendapatkan semula keyakinan dan momentum.
“Kejohanan ini memberikan kami lebih keyakinan serta motivasi untuk bergerak ke hadapan,” katanya menjelang cabaran getir menentang pilihan utama China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di separuh akhir. KOSMO! ONLINE

16 hours ago
8















![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)