PETALING JAYA – Kaedah pengoperasian sekolah di Sarawak bagi Isnin ini susulan keadaan jerebu akan dimaklumkan selewat-lewatnya sebelum pukul 2 petang esok.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak berkata, pemakluman mengenai pengoperasian sekolah pada 7 September itu akan dibuat esok selepas mengambil kira situasi jerebu yang berlaku ketika ini.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) dan JPN Sarawak sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan, kesihatan serta kesejahteraan murid dan seluruh warga pendidikan.
“Sehubungan itu, kaedah pengoperasian sekolah bagi 7 September 2026 (Isnin) akan dimaklumkan pada Sabtu, 5 September 2026 sebelum pukul 2 petang.
“Sementara menunggu pemakluman tersebut, semua pihak khususnya ibu bapa dan penjaga, murid serta warga sekolah dinasihatkan agar sentiasa mengikuti hebahan dan arahan rasmi daripada KPM dan JPN,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, JPN Sarawak turut meminta ibu bapa dan penjaga memantau keadaan kesihatan diri serta anak masing-masing, khususnya mereka yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan pernafasan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar dan pendedahan kepada jerebu sekiranya keadaan kualiti udara semakin merosot.
“Pastikan keperluan kesihatan dan keselamatan anak-anak sentiasa diberi perhatian serta jangan menyebarkan atau mempercayai maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan.
“Dalam situasi seperti ini, ketenangan, kewaspadaan dan kerjasama semua pihak amat diperlukan,” katanya.
JPN Sarawak pada masa sama meminta orang ramai tidak membuat sebarang andaian berhubung status operasi sekolah sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Katanya, ibu bapa dan warga sekolah perlu menunggu pemakluman rasmi serta mengikuti setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Semoga keadaan jerebu beransur pulih dan segala urusan dipermudahkan. Keselamatan dan kesihatan adalah keutamaan kita bersama,” katanya.
Terdahulu, kualiti udara di Serian, Sarawak terus berada pada tahap bahaya apabila stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kawasan itu merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 518, setakat pagi ini.
Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Kuching turut mencatatkan bacaan pada tahap bahaya iaitu 310.
Dua lagi kawasan di Sarawak berada pada tahap sangat tidak sihat iaitu Samarahan dengan bacaan 281 dan Sri Aman (245).
Selain itu, 10 lokasi merekodkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan enam kawasan di Sarawak iaitu Sarikei (181), Sibu (177), Mukah (173), Bintulu (157), Samalaju (152) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (116). – KOSMO! ONLINE

22 hours ago
10















![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)