Marah? Lebih baik diam, jangan biar lidah dahului akal – Dr. Zulkifli

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Perasaan marah tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang mengeluarkan kata-kata yang akhirnya menyakiti hati orang lain atau merosakkan hubungan yang dibina sekian lama.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, terdapat sebab mengapa Rasulullah SAW mengajar umat Islam supaya memilih untuk diam ketika sedang marah.

Menurutnya, ketika dikuasai kemarahan, lidah seseorang mudah mendahului pertimbangan akal sehingga boleh menyebabkan perkara yang tidak sepatutnya terucap.

“Kerana ketika marah, lidah mudah mendahului akal.

“Kita mungkin mengatakan sesuatu yang tidak sepatutnya. Meninggikan suara, mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan, membuka aib atau membuat keputusan yang akhirnya kita sendiri sesali.

“Sebab itu, apabila marah, diam,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Beliau turut memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Apabila salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia diam.” (Riwayat Ahmad, no. 2136).

Katanya, berdiam diri ketika marah bukan menunjukkan seseorang itu lemah atau tidak mempunyai jawapan, sebaliknya memberi ruang kepada hati untuk kembali tenang dan akal kembali berfikir.

“Diam adalah ruang untuk hati kembali tenang. Diam adalah peluang untuk akal kembali berfikir. Diam adalah cara untuk mengelakkan lidah daripada menambah luka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan sebenar seseorang bukan terletak pada keupayaannya mengalahkan orang lain, sebaliknya kemampuan mengawal diri ketika sedang marah.

“Bukan kerana kita tiada jawapan, tetapi kerana kita sedar bahawa tidak semua yang kita rasa ketika marah perlu kita luahkan.

“Kadang-kadang, diam seketika menyelamatkan hubungan yang dibina bertahun-tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |