NCSM-Himalaya pacu pendekatan holistik penjagaan kanser

18 hours ago 8

PETALING JAYA – Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Himalaya Wellness Malaysia hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pendekatan sokongan berasaskan wellness dalam penjagaan pesakit kanser serta pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Kerjasama itu dimeterai sempena NCSM × Himalaya Wellness Summit di Universiti Sunway yang menghimpunkan doktor dan profesional kesihatan untuk membincangkan pendekatan praktikal berteraskan bukti dalam melengkapkan rawatan perubatan konvensional.

Pengarah Urusan NCSM, Prof. Dr. M Murallitharan berkata, pendekatan penjagaan pesakit kanser perlu dilihat secara menyeluruh kerana mereka bukan sahaja berdepan kesan penyakit, malah memerlukan pemulihan selepas menjalani rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi.

Beliau berkata, penggunaan sebarang ubat atau suplemen tambahan dalam kalangan pesakit kanser perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan interaksi dengan ubat yang sedang diambil, selain mengambil kira masalah kesihatan lain termasuk berkaitan hati, buah pinggang dan kesihatan lelaki.

“Jadi, kita mahu memastikan pesakit mempunyai unsur yang boleh memastikan mereka kekal sihat dan terjaga. Sebab itu kita mengambil pendekatan untuk melihat kelengkapan penjagaan secara holistik termasuk ubat-ubatan berasaskan tumbuhan dan sebagainya,” katanya.

Persidangan NCSM × Himalaya tersebut diadakan sempena Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia 2026 yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau menjelaskan bahawa NCSM memilih untuk bekerjasama dengan Himalaya berdasarkan pengalaman syarikat itu yang hampir 100 tahun dalam bidang produk berasaskan tumbuhan, selain mempunyai sejarah penyelidikan serta penggunaan produknya di beberapa negara.

Katanya, kerjasama berkenaan turut memberi tumpuan kepada aspek pencegahan melalui pemakanan, pengambilan mikronutrien, saringan serta pengesanan awal kanser dan peningkatan pendidikan kesihatan awam.

“Bukan semua benda kena telan ubat klinikal. Sebagai pencegahan, lebih baik kita mengambil pendekatan natural dan holistik,” katanya sambil menegaskan rawatan perubatan konvensional kekal penting dalam pengurusan kanser.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |