Nor Azman tekad teruskan legasi Tok Min

4 hours ago 4

SEREMBAN – Calon Paka­tan Ha­rapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Nor Az­man Mohamad bertekad untuk me­neruskan legasi pembangunan yang ditinggalkan oleh penyan­dang, Datuk Seri Aminuddin Ha­run sekiranya diberikan man­dat.

Nor Azman berkata, tiga perkara utama akan diberikan tumpuan iaitu kebajikan rakyat, pembangunan belia dan penambahbaikan kemudahan infrastruktur.

“Kita akan meneliti semula kedudukan masyarakat di DUN Sikamat, bantuan sedia ada akan dikemas kini dan kemungkinan akan menambah keperluan lain.

“Dari sudut belia khususnya termasuk program pembangunan belia (modal insan) serta aktiviti rekreasi juga akan diberi perhatian,” katanya ketika ditemui di Kampung Ujong Pasir, Sikamat, di sini semalam.

Nor Azman berkata, penambahbaikan infrastruktur pula melibatkan kerja menaik taraf kawasan perumahan di sekitar Sikamat yang kebanyakannya telah berusia lebih 20 tahun supaya masyarakat menikmati kemudahan lebih selesa.

“Saya cuma boleh berjanji, insya-Allah apa yang telah dibuat oleh Tok Min (Aminuddin) akan saya teruskan sekiranya diberi mandat,” katanya.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, walaupun dibayangi oleh Aminuddin sebagai penyandang sejak 2008, namun beliau selesa menampilkan perwatakan sendiri dengan mendekati pengundi secara bersemuka.

“Sebagai pemimpin kita perlu mesra dengan rakyat dan me­ngutamakan kebajikan, lebih penting keberadaan kita bersama masyarakat di saat mereka memerlukan,” katanya.

Nor Azman yang menetap lebih 18 tahun di Sikamat berkata, hubungan rapatnya dengan Aminuddin juga menjadi antara faktor utama beliau diterima dan di­senangi masyarakat.

“Setakat hari pertama selepas diumumkan sebagai calon menggantikan Datuk Seri Aminnudin di Sikamat, saya sudah mendapat maklum balas positif.

“Lagi pun saya sering menggantikan beliau untuk urusan di sekitar DUN Sikamat, jadi pencalonan saya bukanlah satu kejutan,” katanya yang juga Setia­usaha Politik Menteri Besar.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan pengalaman Aminuddin sebagai wakil rakyat pembangkang selama dua penggal menjadi asas kepada pelbagai inisiatif kebajikan yang diper­kenalkan selepas PH membentuk kerajaan negeri.

Katanya, antara inisiatif tersebut termasuk bantuan kepada pelajar melanjutkan pengajian ke universiti, tabung usahawan serta pembinaan Rumah Harapan Rakyat dan rumah mampu milik.

PENCALONAN Nor Azman (tengah) di DUN Sikamat mendapat maklum balas positif daripada penduduk di kawasan tersebut.

DUN Sikamat menyaksikan pertembungan tiga penjuru an­tara Nor Azman, Datuk Razali Abu Samah (Perikatan Nasional) dan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz (Bersatu).

Pada PRN 2023, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berjaya mempertahankan DUN Sikamat de­ngan majoriti 2,662 undi selepas meraih 12,730 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas.

Menerusi Data Pemilih Pilihan Raya (DPPR) PRU Negeri Sembilan 2026 terdapat 34,103 pemilih berdaftar di kawasan DUN Sikamat dengan pecahan pengundi mengikut usia adalah 10,032 (18 hingga 30 tahun), 13,768 (31 hingga 50 tahun) dan 7,817 merupakan golongan berusia 50 hingga 70 tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |