TELUK INTAN – Empat mangsa nahas tragis membabitkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan lori muatan batu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di sini, telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal berkata, Sarjan Mazlan Mat, 50, dan Koperal Mohd. Izwan Ishak, 39, menjadi anggota FRU terakhir yang dibenarkan pulang selepas 18 hari menerima rawatan di hospital.
Katanya, kedua-dua mereka yang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan keluar pada pukul 6 petang tadi.
“Koperal Haslizal Mohd. Ali, 44, yang dirawat di hospital sama juga telah dibenarkan pulang semalam manakala Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pula keluar hospital kelmarin (Rabu).
“Kesemua mereka kini dalam tempoh cuti sakit untuk proses pemulihan,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Bakri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk hospital, pasukan bomba, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam yang membantu menguruskan kejadian itu dari mula hingga akhir.
“Diharap kesemua anggota yang cedera diberi kekuatan dan segera sembuh, begitu juga kepada waris anggota yang terkorban dalam tragedi ini,” katanya.
Terdahulu, lima anggota FRU yang cedera iaitu Koperal Nizam Tarmizi, 38; Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26; Koperal Mohd. Harrisul Ikhsan Mohd. Mahabudin, 39; Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34; dan Sarjan Mohd. Parih Ali, 44, juga dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan.
Dalam kejadian pada 13 Mei lalu, kenderaan membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.
Kemalangan itu mengakibatkan lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.
Kemalangan berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak.- KOSMO! ONLINE