Nahas FRU: Ada cubaan eksploitasi waris, mangsa

1 day ago 12

GERIK – Polis Perak mendedahkan terdapat cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeksploitasi dan memanipulasi waris-waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di Teluk Intan, pada 13 Mei lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat waris yang hampir terpedaya dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kesedihan dan kekeliruan yang dialami mereka ketika ini.

Katanya, penipuan yang dilaporkan itu melibatkan aspek kewangan dan perundangan.

“Zaman sekarang ramai ‘scammer’ jadi apabila waris-waris ini seperti mana yang dilaporkan dalam berita menerima wang sumbangan dan pampasan di mana nilainya agak tinggi, mereka melihat ia sebagai ruang dan peluang.

“Ada yang menghubungi keluarga mangsa dan menjanjikan sesuatu. Kita pun tidak jangka perkara ini, namun apabila diberitahu oleh waris betullah ia boleh dieksploitasi. Kita nampak ada cubaan untuk menangguk di air keruh,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Gerik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini hari ini.

NOOR Hisam (tengah) menyaksikan dokumen serah tugas antara Superintenden Zulkifli Mahmmod (kiri) kepada timbalannya, Deputi Supritenden Muhammad Firdaus Abdullah (kanan) yang akan memangku sementara tugas sebagai Ketua Polis Daerah Gerik.

Pada majlis itu, Noor Hisam menyaksikan serah tugas antara Superintenden Zulkifli Mahmmod kepada timbalannya, Deputi Supritenden Muhammad Firdaus Abdullah yang akan memangku sementara tugas sebagai Ketua Polis Daerah Gerik.

Zulkifli akan memulakan tugas sebagai Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (Operasi Risik) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Mengulas lanjut Noor Hisam berkata, satu jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau dan melantik peguam yang akan membantu waris dalam urusan berkait kewangan dan perundangan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |