PUTRAJAYA- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini melancarkan portal Malaysia Market Data Hub (MyLabourHub) iaitu inisiatif strategik yang berperanan sebagai gerbang utama kepada capaian statistik rasmi pasaran buruh negara.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sebagai platform komprehensif mengintegrasikan institusi, data dan teknologi, MyLabourhub dijangka memanfaatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk penggubal dasar, pemain industri, institusi latihan dan rakyat.
Menurut beliau, platform tersebut dibangunkan sepenuhnya melalui inisiatif dalaman DOSM secara in-house.
“Itu sebabnya pentingnya data itu berbentuk siri masa dan lebih granular. Kita hendak lihat bukan sahaja daripada segi bekalan dan permintaan, tetapi bagaimana keseimbangan itu boleh berlaku.
“Jadi, perkara-perkara ini membolehkan siri masa dan penilaian di mana ia berdasarkan sasaran yang telah kita tetapkan yang sentiasa dapat diukur secara berkala.
“Dan MyLabourHub ini kita permudahkan kepada orang ramai, daripada segi akses dan kefahaman untuk semua golongan termasuk pengguna biasa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan portal MyLabourHub di sini hari ini.
Antara fungsi utama MyLabourHub adalah sebagai platform analitik pasaran buruh yang menyeluruh meliputi lebih 60 indikator utama pasaran buruh serta integrasi dengan data pentadbiran 40 kementerian dan agensi berkaitan.
Ia seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Selain itu, ia berfungsi sebagai pembangun dasar pasaran buruh negara yang berperanan penting dalam memperkukuh pembangunan bakat masa hadapan dan menjajarkan semula pasaran buruh ke arah pertumbuhan yang inklusif dan mampan.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, MyLabourHub turut berperanan sebagai platform analitik yang membolehkan penelitian mendalam dalam penggubalan dasar berasaskan bukti.
“Secara ringkasnya, MyLabourHub dapat memberikan manfaat kepada negara dari segi meningkatkan kecekapan pasaran buruh dan aliran maklumat antara majikan, pencari kerja dan penyedia latihan.
‘Ia juga mengurangkan kos pencarian pekerjaan melalui penyediaan maklumat yang mudah diakses, menyokong transformasi sistem pendidikan berdasarkan kehendak industri sebenar dan memacu pembangunan tenaga kerja mahir dan pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap semua pihak berkepentingan sama ada daripada sektor awam, swasta mahu pun ahli akademik untuk memanfaatkan sepenuhnya MyLabourHub sebagai sumber rujukan utama. – KOSMO! ONLINE