ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus memperkasakan aplikasi MyJPJ menerusi penambahbaikan berterusan serta pengenalan pelbagai ciri baharu menggunakan teknologi terkini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, MyJPJ kini menjadi antara aplikasi kerajaan paling popular dengan hampir 15 juta pengguna berdaftar.
Kata beliau, penambahbaikan terhadap aplikasi itu sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa memandangkan ia digunakan secara meluas oleh orang ramai.
“MyJPJ ini adalah satu aplikasi super app kerajaan yang paling popular yang mana sekarang ini kita ada hampir 15 juta pengguna berdaftar.
“Jadi MyJPJ ini adalah aplikasi kerajaan yang tengah ‘hot’ sekarang dan digunakan oleh hampir 15 juta pengguna. Apabila ada beberapa isu, itu normal dan dari semasa ke semasa, kita memang membuat penambahbaikan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kampung dan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu gangguan aplikasi dan masalah pembayaran dalam talian yang dibangkitkan bekas Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi baru-baru ini.
Menurut Aedy Fadly, MyJPJ yang dibangunkan sebagai aplikasi sehenti kerajaan akan terus diperkasakan dengan pelbagai ciri baharu menggunakan teknologi terkini.
“Terdapat pelbagai lagi ciri-ciri (baharu) berkaitan MyJPJ ini yang mana kita akan panggil untuk media preview dalam masa terdekat ini, berkemungkinan pada September ini. Kita akan tunjukkan ciri-ciri dan fungsi baharu, teknologi terkini untuk aplikasi MyJPJ ini yang tidak pernah kita tunjukkan sebelum ini. Memang banyak, jadi tunggu dulu,” jelasnya.
Tambahnya, pengguna yang berdepan sebarang masalah berkaitan aplikasi berkenaan boleh menyalurkan aduan atau laporan kepada pasukan teknikal JPJ untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
5












![[VIDEO] Ahmad Zahid serah tiga nama calon MB kepada Tuanku](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/AHMAD-ZAHID-ISTANA-HINGGAP.jpeg)



































