PETALING JAYA – Pengiktirafan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) oleh Netherlands Food and Consumer Product Safety Authority (NVWA) dijangka memperkukuh kesiapsiagaan industri sawit negara untuk menembusi pasaran Kesatuan Eropah (EU).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pengiktirafan sebagai Private Control System di bawah pelaksanaan European Union Deforestation Regulation (EUDR) itu membuktikan MSPO mempunyai sistem pensijilan, audit dan kawal selia yang kukuh serta mampu menyokong pematuhan terhadap keperluan badan antarabangsa itu.
Menurut beliau, melalui penilaian yang dilaksanakan, MSPO diterima sebagai sistem jaminan pihak ketiga yang boleh membantu penyeliaan berkaitan pematuhan EUDR.
“Pengiktirafan ini membuka ruang kepada penghantaran minyak sawit Malaysia yang memiliki pensijilan MSPO untuk dipertimbangkan di bawah prosedur penyeliaan yang bersesuaian oleh NVWA, tertakluk kepada keperluan yang ditetapkan di bawah EUDR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noraian berkata, Belanda memainkan peranan penting sebagai pintu masuk utama minyak sawit ke pasaran Eropah menerusi Pelabuhan Rotterdam yang menjadi antara hab perdagangan komoditi pertanian terbesar di rantau itu.
Katanya, perkembangan itu hadir pada masa yang tepat memandangkan EUDR akan mula dikuatkuasakan kepada pengendali besar dan sederhana bermula 30 Disember 2026, manakala pengendali kecil bermula Jun 2027.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, pengiktirafan tersebut akan membantu meningkatkan kesiapsiagaan industri sawit negara dalam memenuhi keperluan kelestarian, kebolehkesanan serta pematuhan rantaian bekalan di pasaran antarabangsa, termasuk melibatkan pekebun kecil.
“Kementerian akan terus memperkukuh pelaksanaan MSPO bersama agensi berkaitan, badan pensijilan, juruaudit, pemain industri serta rakan strategik antarabangsa.
“Tumpuan akan diberikan kepada aspek pematuhan, audit, kebolehkesanan dan bimbingan kepada pekebun kecil serta pemain industri bagi memastikan sektor sawit negara bersedia menghadapi pelaksanaan EUDR,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak MSPO, Lembaga Pemegang Amanah, badan pensijilan, juruaudit, pemain industri dan pekebun kecil yang bersama-sama memperkukuh kedudukan MSPO sebagai standard nasional yang inklusif dan berwibawa.
Ujar beliau, pengiktirafan tersebut sekali gus mengukuhkan usaha Malaysia membangunkan industri sawit yang mampan, bertanggungjawab dan berdaya saing selaras dengan keperluan pasaran global serta kepentingan eksport komoditi negara.-KOSMO! ONLINE

7 hours ago
3












![[VIDEO] Janji hidup lebih baik, bekas guru tadika didakwa terima hasil haram](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/AKTIVITI-HARAM.jpeg)




































![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)