Momoyo sasar buka lebih 300 cawangan akhir tahun ini

18 hours ago 9

KUALA LUMPUR – Momoyo, jenama minuman teh berinovatif, menyasarkan untuk membuka lebih 300 cawangan menjelang akhir tahun ini, dengan keutamaan adalah untuk memiliki pensijilan halal bagi semua rangkaian untuk meningkatkan keyakinan pelanggan dan me­ngukuhkan jenama sedianya di pasaran semasa.

Syarikat kini memiliki 220 cawangan sejak memasuki pasaran negara ini pada April 2024.
Pengurus Besar Momoyo Malaysia, Alex Tan berkata, pihak­nya memposisikan jenamanya menerusi minuman berharga antara RM5 hingga RM10 dengan menyasarkan pengguna muda dengan pilihan teh buah-buahan, minuman matcha serta minuman premium lain pada harga berpatutan.

Falsafah jenamanya, More & More Young, Always More For You memberi tumpuan kepada penyampaian produk berkualiti sambil mengekalkan harga yang mampu milik.

“Momoyo berjaya membezakan dirinya dalam pasaran minuman Malaysia yang kompetitif menerusi inovasi produk berte­rusan, pensijilan halal dan tenaga kerja yang terdiri daripada 99 peratus rakyat Malaysia,” kata­nya ketika ditemui pada Franchise Expo Malaysia di sini baru-baru ini.

Alex menjelaskan, kempen francais dilancarkan bagi mengembangkan rangkaiannya di Malaysia kepada 500 cawangan menjelang 2027 selaras dengan peningkatan permintaan terhadap minuman premium pada harga mampu milik dan konsep makanan berasaskan kemudahan.

Menurut beliau, dalam tempoh jangka panjang, Momoyo menyasarkan 600 cawangan dengan peluasan ke bandar-bandar peringkat kedua dan pasaran baharu di seluruh negara selain pusat bandar utama.

“Malaysia kekal sebagai pasaran pertumbuhan utama bagi jenama itu dalam usaha memperluaskan kehadirannya di pe­ringkat serantau di sebalik persaingan dalam sektor makanan dan minuman yang semakin sengit dengan jenama tempatan serta antarabangsa.

“Banyak syarikat kini merebut peluang pertumbuhan berpotensi didorong permintaan pengguna kekal kukuh, proses urbanisasi dan populariti tawaran berasaskan nilai.

“Pertumbuhan sektor ini turut disokong permintaan pengguna yang berdaya tahan, urbanisasi serta perubahan corak penggunaan, khususnya dalam kalangan pengguna muda yang mencari tawaran gaya hidup premium pada harga mampu milik,” katanya.

Tambah Alex, sebagai sebahagian daripada strategi peluasan produk, Momoyo turut memperkenalkan siri Real Matcha yang dipertingkatkan dengan kandungan matcha 20 peratus lebih tinggi dan merancang untuk memperkenalkan siri Fresh Brew bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap teh yang dibancuh segar.

“Kami bercadang untuk memperkenalkan enam hingga lapan produk baharu setiap tahun, termasuk minuman yang disesuaikan dengan cita rasa rakyat seperti cendol, kopi putih, gula Melaka, minuman ais krim teh susu dan minuman berasaskan lemon.

“Selain minuman, syarikat turut merancang memperluaskan penawarannya dengan produk bakeri segar, kopi premium dan donut bagi berkembang menjadi rangkaian minuman serta bakeri sehenti,” katanya.

Momoyo kini memanfaatkan model francais serta rantaian bekalan yang dibangunkan di Indonesia, di mana syarikat mengendalikan lebih 1,500 cawangan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |