IPOH – Pengasas jenama Miker yang terlibat dalam sektor makanan dan minuman (F&B) serta operasi restoran, Mohd. Amzari Zamri, 41, tidak menyangka ‘eksperimennya’ untuk menonjolkan indentiti Perak menerusi dunia gastronomi telah menunjukkan kejayaan memberangsangkan.
Beliau kini mampu tersenyum puas kerana telah mempunyai sembilan restoran yang menawarkan pelbagai menu, melibatkan lebih 50 unit simpanan stok (sku) pada harga bermula RM2 hingga RM230.
“Ceritanya mudah, pada 2016, saya memulakan perniagaan restoran pertama kerana ingin membantu seorang rakan yang pulang ke kampung halaman dari Kuala Lumpur kerana diberhentikan kerja sebagai cef.
“Bermula di restoran itu, saya menerapkan konsep vendor sebagai inisiatif membantu anak muda tempatan berniaga.
“Dari situ, saya mengenali ramai usahawan tempatan dengan idea menu makanan yang unik serta dekat dengan identiti negeri Perak, dan sebahagian daripada mereka kemudiannya turut menjadi rakan kongsi perniagaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Restoran Miker Signature di sini, baru-baru ini.
Katanya, jenama Miker mula berkembang dengan membuka restoran piza dengan gabungan menu ala Timur dan Barat, serta masakan pelbagai kaum di negara ini terutama Melayu, Cina dan India.
“Ada menu di restoran saya yang menonjolkan identiti Perak dengan menggunakan bahan seperti tempoyak, ikan bilis, bunga kantan, cili padi dan petai yang selalu dipakai dalam masakan di negeri ini.
“Malah, sebelum ini ada menu piza di Miker Pizza yang menggunakan hirisan petai sebagai salah satu bahan dalam masakan dan Alhamdulillah, ia mendapat sambutan hangat,” katanya.

Pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ungku Omar itu berkata, selain restoran, pihaknya turut mengoperasikan Miker Avenue, iaitu sebuah dewan yang mampu memuatkan sehingga 1,500 orang pada satu masa.
“Miker Avenue sesuai untuk tempahan majlis perkahwinan dan korporat, selain menjadi antara lokasi utama rakyat negeri ini berbuka puasa pada Ramadan lalu dengan penawaran bufet pada harga berpatutan.
“Kami terus bereksperimen dengan kepelbagaian menu makanan dan tidak memfokuskan kepada satu-satu kaum, selain cuba membentuk ekosistem rangkaian restoran yang saling melengkapi serta mempunyai perniagaan katering untuk menyediakan menu masakan pada skala besar,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya merancang untuk membuka tiga lagi restoran tahun ini, yang menjadikan jumlah keseluruhan restoran Miker sebanyak 12 buah dengan sasaran pulangan pelaburan dalam tempoh setahun.
Jelasnya, rangkaian restoran di bawah jenama Miker terletak di Ipoh, Kajang, Damansara dan Kuala Lumpur, manakala cawangan baharu bakal dibuka di Tanjung Malim dan Lumut.
“Kami tidak agresif membuka restoran baharu walaupun telah beroperasi sejak 2016 kerana mengambil kira pelbagai faktor seperti kajian pasaran, lokasi, dinamika pelanggan, kos operasi semasa dan lain-lain.
“Kejayaan restoran terdahulu menjadi penanda aras, dan pembentangan analisis kewangan yang kukuh turut dibuat untuk menarik pelabur menyumbang modal awal,” katanya.
Berhubung penggunaan teknologi terutamanya kecerdasan buatan (AI) bagi memaksimumkan kecekapan operasi, Mohd. Amzari berkata, hal itu amat kritikal dewasa ini.
“Penggunaan platform e-pembayaran seperti e-dompet dan pengimbasan kod respons pantas (QR) telah lama dipraktikkan di semua rangkaian restoran kami, disokong cara pembayaran tradisional.
“Sebagai contoh, kami menyediakan sistem pada bufet Ramadan baru-baru ini yang membolehkan pelanggan menempah meja, mengetahui menu-menu yang disediakan, dan membuat pembayaran hanya menggunakan hujung jari,” katanya.

Beliau turut menggunakan teknologi AI untuk mengetahui stok bekalan makanan semasa selain analisis bagi mewujudkan bank data untuk melancarkan perniagaan.
“Kami bercadang mewujudkan mesin layan diri di Restoran Miker Pizza yang menyokong sistem pembayaran tanpa tunai bagi memudahkan pengguna.
“Ia menawarkan platform jualan lebih automatik, efisien serta mudah diakses, selain mengoptimumkan penggunaan sumber tenaga kerja,” katanya.
Kesungguhan Mohd. Amzari membolehkan jenama Miker mendapat pengiktirafan tempatan dan antarabangsa seperti Ikon Perak Tourism 2023 dan Anugerah Gourmet Terbaik Dunia 2023 oleh Gourmet Dunia (World Gourmet).