59 anggota polis dibuang kerja tahun ini – JIPS

8 hours ago 1

MARAN – Seramai 59 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja dalam tempoh lima bulan tahun ini atas pelbagai kesalahan tatatertib termasuk salah guna kuasa, dadah dan rasuah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Seri Azri Ahmad berkata, sejak Januari hingga Mei lalu, sebanyak 492 kes tatatertib direkodkan atau bersamaan 0.36 peratus daripada keseluruhan 137,052 warga PDRM.

“Sebanyak 333 kes membabitkan pelanggaran integriti, 45 kes kelemahan tadbir urus (governans), 42 kes dadah, 38 kes jenayah, 19 kesalahan syariah dan 15 kes rasuah,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Maran di sini hari ini.

Menurut beliau, JIPS turut membuka sebanyak 776 kertas siasatan tatatertib (KST) dan 584 kertas enkuiri tatatertib (KET) ke atas 2,076 anggota dan pegawai dalam tempoh sama.

Jelasnya, selain hukuman buang kerja, sebanyak 492 tindakan tatatertib dilaksanakan, manakala 671 anggota ditahan kerja dan 146 pula digantung kerja.

Tindakan itu mencerminkan tindakan PDRM yang tidak bertolak ansur dengan salah laku dalam warganya.

Beliau turut memuji peranan orang awam yang terus menyalurkan aduan dan maklumat, termasuk menerusi aplikasi baharu aduan JIPS PDRM yang dilancarkan Ketua Polis Negara pada 4 Jun lalu apabila  menerima 23 laporan.

“Maklumat awam ini sangat bernilai untuk tindakan dalaman dan pembersihan pasukan secara menyeluruh, PDRM menghargai keberanian rakyat menegur dan membantu,” katanya.

Sementara itu Azri yang akan bersara wajib dalam tempoh 10 hari lagi, menyatakan rasa terharu kerana diberi penghormatan merasmikan IPD Maran lebih-lebih lagi beliau pernah terlibat memilih tapak pembinaannya sewaktu bertugas di Kementerian Kewangan pada 1996. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |